WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Johor Cadang Operator Bas Singapura Di BSI Mula Operasi Lebih Awal - Exco

21/07/2025 03:12 PM

JOHOR BAHRU, 21 Julai (Bernama) -- Kerajaan Johor telah mencadangkan kepada operator bas Singapura di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) untuk memulakan masa operasi bas lebih awal iaitu pada 4.30 pagi, berbanding jadual kini antara 5 hingga ke 5.30 pagi setiap hari. 

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata pihaknya juga mencadangkan mereka  menambah bilangan frekuensi atau trip berikutan bilangan penumpang bas yang sentiasa meningkat pada setiap bulan. 

Beliau berkata berdasarkan statistik daripada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), purata pertambahan jumlah penumpang yang menggunakan perkhidmatan bas berkenaan ialah 1,000 orang hingga 3,000 orang setiap bulan.

"Bagaimanapun, cadangan untuk mengawalkan operasi bas ini akan diperhalusi oleh pihak Land Transport Authority (LTA) Singapura memandangkan operasi Transit Aliran Massa (MRT) di Singapura bermula 5.35 pagi. 

"Bagi cadangan penambahan trip pula pihak LTA sendiri akan berbincang dengan setiap operator berkaitan cadangan ini disebabkan melibatkan kos dan operasi setiap operator," katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini. 

Terdahulu, Mohamad Fazli melakukan lawatan ke BSI selama dua jam bermula 4 pagi tadi bersama LTA Singapura dan operator bas awam bagi memantau perjalanan operasi kaunter serta bas, selain melihat sendiri keadaan orang ramai yang beratur panjang untuk menunggu bas. 

Operator terlibat merangkumi Handal Indah Sdn Bhd, SBS Transit Ltd, SMRT Buses Ltd, Ridewell Travel Pte Ltd, The Singapore-Johore Expressway (Private) Ltd dan Transtar Travel & Tours Pte Ltd.

"LTA memaklumkan kepada saya bahawa isu ini akan dibincang dan akan diputuskan dalam tempoh terdekat. Bagi pihak Bas Handal Indah pula, mereka menyediakan bas 24 jam sehari dengan minimum setiap 30 minit pada waktu bukan puncak dan hampir 150 trip pada waktu puncak.

"Semoga usaha ini akan membuahkan hasil demi kesejahteraan semua," katanya. 

-- BERNAMA 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan