IPOH, 17 Julai (Bernama) -- Lebih 4,000 anggota tentera terlibat dalam Eksesais KERIS STRIKE Siri 30/2025 yang melibatkan kerjasama tiga hala antara Tentera Darat Malaysia (TDM), United States Army Pacific Command (USARPAC) dan Tentera Darat Australia hari ini.
Sel Perhubungan Awam Markas TDM memaklumkan dalam kenyataan anggota terdiri daripada 415 pegawai dan 3,322 anggota lain-lain pangkat (LLP) daripada TDM, 50 pegawai dan 183 LLP USARPAC serta tujuh pegawai dan 129 LLP Tentera Darat Australia.
“Eksesais tahunan yang kini memasuki siri ke-30 bertujuan memperkukuh kerjasama strategik, meningkatkan keupayaan operasi bersama (interoperability) serta memantapkan hubungan ketenteraan di antara negara-negara yang terlibat.
“Sejak mula dianjurkan, eksesais ini telah menjadi platform penting bagi latihan ketenteraan gabungan, yang merangkumi komponen seperti Staff Exercise (STAFFEX), Subject Matter Expert Exchange (SMEE), Cross Training Exercise (CTX) dan Field Training Exercise (FTX),” menurut kenyataan itu.
Latihan berkenaan dilaksanakan bermula hari ini hingga 29 Julai merangkumi kawasan strategik di sekitar Sungai Siput hingga Lenggong, Perak.
“Fasa FTX yang dijadualkan berlangsung dari 24 hingga 29 Julai 2025 akan menjadi komponen utama eksesais ini, seterusnya memperlihatkan tahap kesiapsiagaan dan koordinasi bersama antara angkatan tentera yang terlibat,” menurut kenyataan itu.
Eksesais berkenaan bukan sahaja mengukuhkan kebersamaan ketenteraan tetapi juga menjadi simbol komitmen Malaysia dan rakan-rakan strategik dalam menjaga keselamatan serta kestabilan serantau.
Terdahulu, eksesais itu dirasmikan Timbalan Panglima Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim, Australian Assistant Defence Advisor to Malaysia Wing Commander Mike Edwards dan Deputy Commanding General, 25th Infantry Division, United States Army Col Jim D Kiersey.
Majlis berkenaan berlangsung di Padang Kawad Batalion Kedua Rejimen Renjer Diraja (2 RRD) di sini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial