KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- AMMB Holdings Bhd (AmBank Group) menjangkakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia tumbuh sederhana kira-kira empat peratus tahun ke tahun pada suku kedua 2025, dengan disokong oleh aktiviti ekonomi yang dilaksanakan lebih awal, sekali gus memberi manfaat kepada sektor luar.
Ketua Ahli Ekonomi Firdaos Rosli berkata momentum pertumbuhan pada suku pertama 2025 dilihat menurun pada suku kedua disebabkan pengeluaran perindustrian yang lemah.
"Kami mengunjurkan KDNK suku kedua akan sedikit menyusut, terutamanya disebabkan penurunan indeks pengeluaran perindustrian (IPP). Bagaimanapun, secara keseluruhannya, pertumbuhan dijangka kekal pada lingkungan empat peratus," katanya kepada pemberita selepas sesi panel di Forum Ekonomi Negara 2025 hari ini.
Firdaos berkata prestasi suku pertama yang kukuh berkemungkinan dipacu oleh aktiviti ekonomi awal, namun, cabaran luaran dijangka menjejaskan prestasi pada suku seterusnya.
Bagi keseluruhan tahun, bank berkenaan mengunjurkan pertumbuhan KDNK pada 3.8 peratus, rendah sedikit berbanding unjuran Bank Dunia sebanyak 3.9 peratus, berikutan keyakinan pengguna dan pelabur yang lemah terus menjejaskan momentum ekonomi secara keseluruhan, mencerminkan tanda-tanda kelembapan yang lebih meluas dalam ekonomi.
“Ketidaktentuan tarif kekal menjadi kebimbangan utama, terutamanya memandangkan sifat dua hala dalam keputusan perdagangan di Amerika Syarikat,” katanya.
Jabatan Perangkaan Malaysia dijadualkan mengumumkan anggaran awal KDNK bagi suku kedua 2025 esok, manakala pengumuman rasmi akan dibuat pada 15 Ogos 2025.
Mengenai Kadar Dasar Semalaman (OPR), Firdaos berkata AmBank menjangkakan kadar itu kekal pada 2.75 peratus sehingga akhir tahun ini.
Pada 9 Julai, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) menurunkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus sebagai langkah awal untuk mengekalkan landasan pertumbuhan yang stabil di tengah-tengah prospek inflasi yang sederhana.
Kali terakhir BNM mengekalkan OPR pada paras 2.75 peratus adalah pada Mac 2023 sebelum dinaikkan kepada tiga peratus pada Mei 2023.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial