Daripada Ahmad Erwan Othman
WELLINGTON, 17 Julai (Bernama) -- Malaysia dan New Zealand berpotensi memperkukuh kerjasama dua hala dalam bidang pengurusan bencana melalui pendekatan lebih holistik, susulan lawatan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ke National Crisis Management Centre (Beehive Bunker) di sini hari ini.
Lawatan itu merupakan sebahagian daripada hari terakhir misi kerja rasmi lima hari beliau ke negara Oceania tersebut dan dilihat membuka lembaran baharu dalam kesepakatan pengurusan kecemasan dan bencana antara kedua-dua negara.
Ahmad Zahid, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) berkata lawatan itu bukan sekadar simbolik, sebaliknya membawa misi memperluas kerjasama strategik merangkumi perkongsian maklumat, pendidikan serta latihan keselamatan bencana, termasuk simulasi menyelamat dan pengurusan logistik mangsa bencana.
“Malaysia dan New Zealand telah lama menjalin kerjasama dalam pelbagai bidang, namun bidang pengurusan bencana masih mempunyai ruang besar untuk dimantapkan secara dua hala,” katanya.
Beliau turut menyambut baik perkembangan positif rundingan antara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan National Emergency Management Agency (NEMA) New Zealand yang kini dalam proses memuktamadkan satu Memorandum Persefahaman (MoU) dalam masa terdekat.
“Saya yakin usaha ini bakal menjadi mercu tanda kepada kerjasama yang lebih tersusun, berstruktur dan berkesan buat kedua-dua negara, demi keselamatan rakyat dan kesiapsiagaan serantau yang lebih kukuh,” katanya.
Lawatan Ahmad Zahid ke Beehive Bunker, yang terletak di bangunan Parlimen New Zealand, turut disertai delegasi rasmi dan pegawai kanan kerajaan Malaysia.
Timbalan Perdana Menteri dijangka menamatkan lawatan kerja beliau dan berlepas pulang ke Kuala Lumpur pada Jumaat (18 Julai).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial