WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kerajaan Akan Tangani Isu Dibangkit Badan Peguam Malaysia Berpandukan Perlembagaan Persekutuan - Azalina

15/07/2025 08:41 PM

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Kerajaan MADANI mengambil maklum kebimbangan dibangkitkan Badan Peguam Malaysia menerusi “Walk to Safeguard Judicial Independence" dan menegaskan komitmen untuk menangani isu berkenaan secara bertanggungjawab dan telus berpandukan Perlembagaan Persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata sebagai usaha meningkatkan ketelusan dalam prosedur pelantikan Hakim Mahkamah Atasan, pada minggu lepas kerajaan mengumumkan pelaksanaan Kajian Perbandingan Sistem Pelantikan Kehakiman yang dilaksanakan secara bersama-sama Jawatankuasa Pilihan Khas daripada Dewan Negara dan Dewan Rakyat.

Beliau berkata kajian itu bertujuan memberikan kejelasan lebih baik mengenai peranan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) dan pada masa sama menangani sebahagian isu dibangkitkan Badan Peguam Malaysia.

“Kerajaan sentiasa terbuka kepada pandangan semua pihak termasuk Badan Peguam Malaysia, yang juga akan dijemput menyertai kajian ini bagi memastikan sistem pelantikan hakim yang lebih telus, berintegriti dan diyakini rakyat.

“Selain itu, isu-isu yang dibangkitkan oleh Badan Peguam Malaysia wajar dilihat selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 [Akta 695] dan undang-undang lain yang berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, Azalina berkata semua pihak perlu terus menghormati peranan dan proses perlembagaan yang menjadi teras kepada kebebasan badan kehakiman negara.

Beliau berkata Perlembagaan Persekutuan menetapkan mekanisme yang jelas untuk menangani salah laku hakim.

Perkara 125(3) dan (4) Perlembagaan Persekutuan, katanya memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menubuhkan tribunal khas bagi menyiasat dakwaan salah laku, dan hakim yang disiasat boleh digantung tugas atas nasihat Perdana Menteri setelah berbincang dengan Ketua Hakim Negara.

Selain itu, Perkara 125(3A) memperuntukkan kuasa kepada Ketua Hakim Negara untuk merujuk sebarang pelanggaran etika kepada Jawatankuasa Etika Kehakiman yang ditubuhkan di bawah Akta Jawatankuasa Etika Hakim 2010 [Akta 703].

Perkara 125(3B) pula membolehkan penetapan kod etika bertulis bagi menetapkan piawaian tinggi kelakuan dan integriti hakim, manakala Judges’ Code of Ethics 2009 [P.U. (B) 201/2009], yang berkuat kuasa sejak 1 Julai 2009 turut menjadi rujukan penting untuk menetapkan standard tingkah laku hakim secara jelas dan berlandaskan undang-undang.

Beliau berkata kerangka etika itu bertujuan memastikan badan kehakiman bebas daripada pengaruh politik atau luaran, sekali gus menjamin keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

“Proses ini bermakna Badan Eksekutif dan Badan Legislatif tidak boleh campur tangan dalam isu etika kehakiman. Kebebasan ini penting untuk mengekalkan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan