WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Malaysia Usaha Kurangkan Kesan Tarif AS, Kekalkan Daya Saing Industri Maritim - Loke

15/07/2025 05:49 PM

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menyuarakan harapan supaya rundingan mengenai tarif yang sedang diadakan dengan kerajaan Amerika Syarikat (AS) akan membantu mengurangkan kesan terhadap industri maritim Malaysia dan memastikannya kekal berdaya saing.

Beliau berkata sektor maritim ketika ini menunjukkan prestasi yang baik, disokong oleh jumlah dagangan yang tinggi di pelabuhan yang dikendalikan oleh MMC Corporation Bhd dan Westports Holdings Bhd.

“Ketika ini, kita berada dalam keadaan yang baik. Jika anda lihat pelabuhan kita, masing-masing mencatatkan prestasi yang kukuh kerana jumlah dagangan telah meningkat.

“Kita juga sedang menantikan pengumuman oleh Lloyd’s List pada Ogos ini yang akan mengesahkan Pelabuhan Klang berada dalam kalangan 10 pelabuhan paling sibuk di dunia,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Minggu Maritim Malaysia di Petaling Jaya, dekat sini, Selasa.

Malaysia sedang berunding mengenai tarif dengan pentadbiran Presiden Donald Trump, menjelang kemungkinan pengenaan kadar tarif sebanyak 25 peratus terhadap eksport Malaysia ke AS bermula 1 Ogos ini.

Sehubungan itu, Loke berkata kerajaan sedang berusaha sedaya upaya untuk memanfaatkan semua saluran diplomatik yang ada untuk memperoleh perjanjian yang lebih baik dengan AS.

“Kita sedang menggunakan kelebihan diplomatik yang ada untuk merundingkan hasil yang lebih baik supaya kita dapat, mudah-mudahan, mengurangkan sebarang kesan negatif,” katanya.

9 Julai lepas, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata Malaysia akan meneruskan rundingan dengan AS susulan pengenaan tarif balas sebanyak 25 peratus ke atas eksport Malaysia.

Terdahulu, ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada Minggu Maritim Malaysia 2025, Loke berkata pelabuhan di Malaysia berperanan penting dalam ekonomi negara, menyokong perdagangan dan meningkatkan keupayaan logistik.

Beliau berkata walaupun ketidaktentuan global, Malaysia mengekalkan kedudukan sebagai hab maritim terkemuka.

Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) terus mendahului, dan secara konsisten tersenarai antara pelabuhan laut paling sibuk di dunia serta dijangka mencatatkan penanda aras prestasi baharu dalam beberapa minggu akan datang, katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, beliau berkata dari segi jumlah kargo, PTP mencatatkan pertumbuhan hampir 10 peratus setiap bulan.

“Sudah tentu, pertumbuhan pesat PTP dipacu oleh usaha penggabungan antara Maersk dan Hapag-Lloyd. Mereka telah membentuk Gemini Alliance dan menjadikan PTP sebagai hab utama mereka di Asia Tenggara,” katanya.

Sementara itu, Pelabuhan Klang pula terus menunjukkan prestasi yang konsisten dan berkembang stabil.

Di Malaysia, kira-kira 96.4 peratus daripada jumlah perdagangan negara dihantar melalui laut. Pada 2024, Malaysia mencatatkan prestasi perdagangan terbaik dalam sejarahnya, dengan jumlah dagangan mencecah RM2.879 trilion.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan