HAMILTON (Kanada), 12 Julai (Bernama-Anadolu) -- Program Makanan Sedunia (WFP) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat memberi amaran bahawa krisis kelaparan di Semenanjung Gaza kini berada pada tahap yang belum pernah berlaku sebelum ini, dengan usaha bantuan kemanusiaan terjejas akibat sekatan akses, lapor Anadolu Ajansi (AA).
“Keadaan ini lebih teruk daripada yang pernah saya lihat sebelum ini,” kata Timbalan Pengarah Eksekutif WFP Carl Skau pada sidang media di ibu pejabat PBB di New York selepas lawatan keempatnya ke Gaza.
Skau menegaskan bahawa “keperluan kemanusiaan tidak pernah setinggi ini” dan kemampuan PBB untuk “bertindak balas dan membantu tidak pernah sesukar ini.”
Beliau berkata laporan Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC) baru-baru ini mendapati 500,000 penduduk Gaza sedang berdepan kebuluran dan keadaan itu kini bertambah buruk.
“Kini, kadar kekurangan zat makanan semakin meningkat,” katanya sambil menambah: “90,000 kanak-kanak kini memerlukan rawatan segera akibat kekurangan zat makanan. Seorang daripada tiga penduduk Gaza tidak makan selama beberapa hari.”
Beliau turut berkongsi pengalaman bertemu keluarga yang hanya mampu bertahan dengan sup yang dimasak menggunakan “beberapa biji lentil atau beberapa keping pasta” dan ibu cuba menghalang anak mereka daripada bermain untuk menjimatkan tenaga kerana kekurangan makanan.
Menekankan peningkatan penduduk yang terpaksa berpindah, beliau berkata: “Saya bertemu keluarga yang telah berpindah dua atau tiga kali dalam tempoh 10 hari lalu; ada yang sudah berpindah 20 atau 30 kali,” sambil menambah bahawa setiap pergerakan mengurangkan keupayaan mereka untuk terus hidup.
Skau juga menegaskan bahawa keupayaan WFP untuk beroperasi kini sangat terjejas akibat proses pemeriksaan keselamatan yang mengambil masa lama di pusat pemeriksaan dan kekurangan bekalan bahan api.
“Pasukan kami sering tersekat sementara menunggu kelulusan di pusat pemeriksaan, kadangkala terpaksa berada dalam kenderaan berperisai selama 15 hingga 20 jam berturut-turut untuk mengiringi konvoi,” katanya.
Walaupun WFP dibenarkan menghantar bantuan melalui lintasan sempadan Zikim yang dikawal Israel ke utara Gaza buat kali pertama dalam beberapa hari, Skau memberi amaran bahawa perkembangan itu masih jauh daripada mencukupi.
“Ia tidak akan cukup untuk mengubah keadaan kelaparan, itu sudah pasti,” tegasnya.
Sambil menekankan keperluan gencatan senjata, Skau berkata: “Saya tidak tahu bagaimana untuk menyatakannya dengan lebih jelas, tetapi gencatan senjata amat mendesak.”
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial