Oleh Nur Atiq Maisarah Suhaimi
KUALA LUMPUR, 11 Julai (Bernama) -- Menteri-Menteri Luar ASEAN memuji peranan aktif Mesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN (ADGMIN) dalam memperkukuh kerjasama digital serantau dan merangsang pertumbuhan ekonomi.
Kenyataan Bersama dikeluarkan selepas Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58, para menteri menekankan sumbangan ADGMIN dalam pendigitalan rantau ini, termasuk pembangunan infrastruktur 5G ASEAN, tadbir urus data digital yang lebih baik serta usaha bersama memerangi penipuan dalam talian.
Menurut kenyataan itu, inisiatif berkenaan dilaksanakan melalui pengukuhan daya saing digital ASEAN serta pembangunan digital yang mampan dan inklusif.
“Kami turut mengalu-alukan inisiatif utama yang diterajui Kumpulan Kerja ASEAN mengenai Tadbir Urus Data Digital dan Kabel Dasar Laut.
“Begitu juga dengan kemajuan dalam merangka masa depan digital ASEAN menerusi pembangunan Pelan Induk Digital ASEAN 2026–2030 dan Pelan Strategik Keselamatan Siber ASEAN 2026–2030,” menurut kenyataan itu.
ASEAN turut mengiktiraf kemajuan yang dicapai oleh Kumpulan Kerja Tadbir Urus Kecerdasan Buatan ASEAN (WG-AI), khususnya penyempurnaan Panduan Tadbir Urus dan Etika AI ASEAN 2024, serta pembangunan versi yang diperluaskan dengan tumpuan kepada Generative AI yang dijadual diterbitkan pada 2025.
“Kami turut mengambil maklum usaha berterusan untuk merangka Deklarasi Penubuhan Rangkaian Keselamatan AI ASEAN (AI SAFE),” menurut kenyataan itu lagi.
Mesyuarat AMM ke-58 dan mesyuarat berkaitan yang berlangsung di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan” merangkumi 24 sesi di peringkat menteri, termasuk pertemuan bersama Rakan Dialog dan Rakan Dialog Sektoral ASEAN.
Mesyuarat peringkat tinggi yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 8 hingga 11 Julai itu dihadiri kira-kira 1,500 delegasi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial