IPOH, 11 Julai (Bernama) -- Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menafikan telah memberi kebenaran kepada mana-mana pihak untuk menganjurkan acara 'Ipoh Starlight Night Market' seperti yang dipromosikan di media sosial baru-baru ini.
MBI dalam kenyataan hari ini memaklumkan langkah penganjur mempromosikan acara berkenaan yang melibatkan premis miliknya adalah tidak sah dan disifatkan sebagai iklan palsu serta mengelirukan.
"Orang awam serta para vendor dinasihatkan agar berhati-hati dan tidak mudah terperdaya dengan promosi sedemikian. MBI tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kerugian atau kerosakan yang mungkin dialami akibat penglibatan dalam acara tidak sah itu," menurut kenyataan itu.
MBI memaklumkan orang awam disarankan untuk mendapatkan maklumat yang tepat melalui saluran rasmi sekiranya terdapat sebarang keraguan berhubung aktiviti melibatkan pihak berkuasa tempatan itu.
“MBI juga memberi amaran keras bahawa tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana individu atau pihak yang didapati mencemarkan nama baik majlis melalui penggunaan nama, premis atau kapasiti rasmi tanpa kebenaran,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, promosi berkenaan yang dipercayai dimuat naik menerusi sebuah akaun media sosial menawarkan sehingga 100 ruang niaga untuk disewa oleh vendor di kawasan milik MBI berhampiran sebuah pusat beli-belah di sini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial