WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Peranan ASEAN-Switzerland Perlu Diperkukuh Demi Keamanan - Mohamad Hasan

10/07/2025 06:23 PM

Oleh Maizatul Jamny Muhammad Rosli

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- ASEAN dan Switzerland perlu memperkukuh kerjasama dalam mempromosikan keamanan, dialog dan menghormati undang-undang antarabangsa susulan peningkatan ketegangan global, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Menerusi ucapan alu-aluannya pada Mesyuarat Tiga Hala antara Switzerland dan Sekretariat ASEAN pada Khamis, beliau berkata fokus Switzerland terhadap keamanan, hak asasi manusia, amalan perniagaan bertanggungjawab dan tindakan kemanusiaan berkaitan periuk api menunjukkan keserasian yang tulen dengan nilai-nilai ASEAN.

Mesyuarat itu diadakan di luar Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM) dan mesyuarat berkaitan.

Mohamad berkata ASEAN mahupun Switzerland memainkan peranan penting dalam memperjuangkan keamanan dan kemakmuran sambil menekankan peranan blok serantau itu dalam menghimpun negara-negara termasuk kuasa besar bagi menangani kebimbangan bersama serta memperkukuh kerjasama.

“Bersama-sama, ASEAN dan Switzerland harus menyuarakan suara kolektif untuk menggalakkan dialog dan keamanan. Ini sangat penting dalam dunia yang bahasa perang semakin menguasai ruang,” katanya.

Mohamad turut menegaskan kepentingan mematuhi undang-undang antarabangsa serta mencari penyelesaian secara damai terhadap konflik terutama di Ukraine dan Gaza.

“Israel perlu bertanggungjawab atas kekejaman tanpa henti dan pelanggaran berterusan terhadap pelbagai undang-undang antarabangsa di Gaza dan negara-negara lain di rantau ini.

“Membiarkan kezaliman dan kekebalannya daripada hukuman secara berterusan menimbulkan persoalan serius mengenai kredibiliti masyarakat antarabangsa serta sistem yang ada,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Perhubungan Luar Switzerland Ignazio Cassis dalam ucapan alu-aluan meluahkan kebimbangan terhadap ketidakstabilan global yang semakin meningkat dan menegaskan semula komitmen negara berkenaan terhadap dasar multilateral serta diplomasi aman.

Beliau berkata Switzerland juga mengakui bahawa peranan organisasi serantau dan antarabangsa adalah penting serta menekankan komitmen negara itu untuk bekerjasama dengan rakan strategik di seluruh dunia ke arah tatanan antarabangsa yang adil dan aman.

“Mengenai situasi antarabangsa, izinkan saya nyatakan secara terus-terang bahawa dunia kini semakin tidak terkawal, jika saya boleh bercakap secara terbuka dalam perbincangan kecil ini.

“Konflik dan ketegangan di seluruh dunia berada pada tahap tertinggi. Saya juga memikirkan, sudah tentu tentang Ukraine, Gaza, Sudan, Myanmar dan banyak lagi tempat di mana kami hadir dengan usaha kemanusiaan serta diplomatik.”

“Kami adalah sebuah negara majmuk dengan pelbagai bahasa dan agama... walaupun negara ini tidak mencapai jumlah penduduk hampir 10 juta. Kami yakin bahawa kami perlu mencari cara untuk menyelesaikan semua pertikaian secara aman dan itulah juga yang kami cuba lakukan dalam negara kami serta di peringkat ASEAN,” katanya.

Cassis berkata prinsip-prinsip yang termaktub dalam Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menjadi rangka panduan Switzerland dalam mendepani era yang penuh bergelora ini, dengan menekankan keperluan untuk meneruskan dialog bukan sahaja dengan rakan-rakan yang sehaluan tetapi juga bersama mereka yang mempunyai pandangan berbeza.

Turut hadir Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan