Oleh Harizah Hanim Mohamed
KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) – Malaysia perlu terus mengukuhkan hubungan perdagangan intra-ASEAN dan melibatkan diri dalam perkongsian pelbagai hala, kerana pendekatan ini akan mengurangkan pergantungan kepada mana-mana negara tunggal.
Langkah ini juga akan memberi manfaat kepada semua pihak dengan meminimumkan halangan perdagangan dan bukan perdagangan, termasuk tarif dan pergerakan barangan rentas sempadan, kata ahli ekonomi terkemuka Dr Nungsari Ahmad Radhi
Beliau berkata di tengah-tengah landskap geopolitik yang semakin dinamik dan peningkatan unilateralisme, Malaysia tidak dapat mengawal tindakan negara lain yang mengenakan tarif dan duti sebagai taktik tekanan.
Bagaimanapun, katanya, negara boleh memilih untuk bertindak balas secara diplomatik dan dengan cara yang sejajar dengan kepentingan nasionalnya.
Nungsari berkata Malaysia harus meneruskan usaha yang sedang dilakukannya, iaitu berunding dengan Amerika Syarikat (AS) dan pada masa yang sama membentuk pakatan dan mengukuhkan hubungan perdagangan sedia ada, khususnya dalam ASEAN.
"Kami berharapkan firma AS untuk melobi kerajaan AS, kerana sebahagian besar eksport elektronik dan elektrik melibatkan perdagangan intra-firma syarikat AS merentas sempadan," katanya kepada Bernama hari ini.
Bagaimanapun, beliau berkata bagi tempoh jangka panjang Malaysia perlu sentiasa menyokong institusi berbilang pihak.
"Kita perlu melakukan lebih banyak lagi untuk menyepadukan ekonomi ASEAN, walaupun secara dua hala, jika tidak sekali gus, seperti Malaysia-Singapura. Kita harus mengeratkan kerjasama antara Malaysia dan Thailand, dan sudah pastinya antara Malaysia dan Indonesia.
“Mencapai pergerakan bebas barangan antara Malaysia dan Singapura dalam bentuk blok perdagangan, Malaysia dan selatan Thailand, Sumatera dan Semenanjung Malaysia, dan Sabah dan Sarawak, dengan Kalimantan, adalah bahagian yang harus diteroka dan diperkukuh,” kata Nungsari.
Berkongsi pandangan yang sama, Profesor Madya Putra Business School Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata selagi ada ruang untuk rundingan, Malaysia harus merebut peluang itu, memandangkan beberapa negara, seperti Filipina dan Vietnam, antara lain, berjaya menurunkan tarif.
“Itulah, selama ini kita berunding, (tetapi tarif) makin naik, jadi kita haraplah kali ini rundingan yang kita lakukan mampu menurunkannya, kalau tak dapat hapuskan, turunkan (tarif). Teruskan rundingan, jadi tidak mustahil untuk kita mendapat pengecualian ataupun penurunan,” katanya.
Malaysia telah mengadakan rundingan dengan Washington untuk mengurangkan tarif tersebut sejak April, dengan pusingan rundingan terkini diadakan pada 18 Jun.
Ahmed Razman turut berkata pada masa yang sama, Malaysia tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada keputusan rundingan itu.
“(Usaha) Mencari pasaran baharu perlu diteruskan, memperkasa ekonomi domestik perlu dilaksanakan, dan pada masa yang sama, kita harus mempelbagaikan barangan industri kita supaya tidak mudah terkesan apabila salah satu industri dikenakan tarif,” jelasnya.
Beliau juga berkata Malaysia harus meningkatkan perdagangan intra-ASEAN berikutan masih banyak potensi besar yang boleh diteroka.
“Masih lagi ada ruang untuk kita meningkatkan perdagangan sesama negara ASEAN… jika kita berdagang antara negara ASEAN, kurang sikit impak rantaian bekalan, kurang sikit impak pada tarif apabila kita berdagang sesama kita, selain membangunkan ekonomi tempatan serta ekonomi ASEAN,” katanya.
Menjelas lanjut, Ahmed Razman berkata penglibatan Malaysia dalam Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan BRICS akan mengurangkan kos melalui pemansuhan tarif sesama negara, duti import dan juga memudahkan perpindahan barang.
“Di situ saya lihat potensi untuk bekerjasama dengan negara-negara yang telah memeterai perjanjian dengan kita,” katanya.
AS telah mengenakan tarif lebih tinggi sebanyak 25 peratus ke atas mana-mana dan semua produk Malaysia yang dieksport ke negara ini, berasingan daripada semua tarif sektor, berkuat kuasa 1 Ogos tahun ini.
Kadar ini adalah satu mata peratusan lebih tinggi berbanding 24 peratus yang diumumkan pada April.
Menerusi sepucuk surat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disiarkan di Truth Social pada Isnin, Presiden AS Donald Trump berkata "angka 25 peratus itu adalah jauh kurang daripada apa yang diperlukan untuk menghapuskan jurang defisit perdagangan kami dengan negara anda."
Bagaimanapun menerusi surat itu Trump juga menyatakan bahawa tarif tidak akan dikenakan jika Malaysia, atau syarikat Malaysia, memutuskan untuk membina atau mengeluarkan produk di Amerika Syarikat dan Washington “akan melakukan sedaya mungkin untuk mendapatkan kelulusan dengan cepat, profesional, dengan kata lain, hanya dalam masa beberapa minggu."
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhammad Ridhuan Bos Abdullah berkata dalam tempoh jangka pendek, rantaian industri yang terkesan dengan tarif terbaru tersebut akan terganggu kerana firma-firma ini akan menyerap kejutan.
“Dasar penstabilan negara sangat diperlukan untuk memacu pertumbuhan dengan bertindak balas terhadap isu tarif kerana isu utama adalah persaingan.
“Bank Negara Malaysia serta dasar monetari dan fiskal dengan instrumen yang tepat dijangka berupaya menyerap tarif timbal balas AS,” katanya.
Muhammad Ridhuan berkata dasar tindak balas yang menyokong persaingan Malaysia perlu diperkukuhkan lagi.
“Kita perlu faham bahawa kos buruh di AS telah meningkat secara berterusan, menjadikannya faktor penting untuk perniagaan.
“Trend ini didorong oleh faktor seperti kenaikan gaji, kos faedah dan pasaran kerja yang kompetitif. Peningkatan kos buruh memberi kesan kepada pelbagai industri di sana,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial