WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Perbincangan ASEAN-AS Redakan Ketegangan Di Tengah-Tengah Tarif Baharu Trump - Penganalisis

10/07/2025 02:42 PM

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Perbincangan ASEAN-Amerika Syarikat (AS) di Kuala Lumpur pada Khamis dijangka meredakan ketegangan susulan pengenaan tarif baharu oleh Amerika Syarikat ke atas Malaysia dan lima lagi negara anggota ASEAN.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata lawatan rasmi pertama Setiausaha Negara AS Marco Rubio ke Asia menawarkan ruang diplomasi sementara bagi membantu meredakan ketegangan.

“Ia memberi isyarat bahawa AS masih melihat ASEAN penting dalam persaingan dengan China. Jika pemimpin ASEAN menjadikan hubungan perdagangan sebagai pengimbang bersama terhadap ketidaktentuan global, ia boleh membantu,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual.

Beliau berkata Vietnam, Malaysia dan Thailand paling terjejas kepada tarif baharu diumumkan Presiden AS Donald Trump, memandangkan penglibatan negara-negara itu dalam rantaian bekalan yang berkait dengan AS, Malaysia akan berdepan tarif sebanyak 25 peratus di bawah langkah baharu tersebut.

"Kenaikan tarif, kebanyakannya melonjak daripada hampir sifar kepada 10 peratus hingga 25 peratus memberi kesan serta-merta iaitu ketidaktentuan, syarikat membekukan pengembangan dan modal tidak digunakan. Ia bukan mengenai jumlah dagangan tetapi keraguan menjalankan perdagangan," jelasnya.

Taktik perdagangan Trump adalah melakukan provokasi, menangguhkan dan seterusnya bertindak, mencerminkan strategi unilateral berdasarkan "timbal balik" ditakrifkan berdasarkan syarat ditetapkan Washington.

"Ia adalah permainan kuasa, menggunakan tarif sebagai dasar dan untuk menang dalam permainan ini. ASEAN harus menganggap dasar perdagangan AS seperti cuaca, sukar diramalkan tetapi masa sama dapat dikawal dengan baik,” katanya.

“Pelbagaikan pendedahan perdagangan, perkukuh hubungan dalam ASEAN mewujudkan banyak pilihan dalam rantaian bekalan. Kekal jalin hubungan erat dengan sektor swasta Amerika Syarikat kerana dasar mungkin bersifat politik tetapi keuntungan masih menjadi keutamaan. Pasaran akan menilai risiko luar jangka yang mungkin akan berlaku dengan pantas,” katanya.

Menjelang tarikh pelaksanaan tarif baharu pada 1 Ogos ini, Innes menggariskan tiga kemungkinan - penangguhan semula, pelaksanaan secara terpilih untuk mengekalkan pengaruh tanpa menghadapi gangguan besar atau pelaksanaan sepenuhnya yang boleh mencetuskan tindak balas, memberi kesan serantau dan tekanan kepada negara sedang pesat membangun.

Ahli Ekonomi Geoffrey Williams berkata libat urus AS dalam ASEAN dijangka berterusan, dipacu oleh kepentingan ekonomi bersama dan keperluan untuk meneliti semula keputusan tarif.

“Saya percaya Senator Rubio akan mengulangi pendirian AS dan memberi jaminan kepada negara anggota ASEAN bahawa penyelesaian masih boleh dicapai sebelum 1 Ogos depan. Cara terbaik ASEAN mempengaruhi dasar ialah bekerjasama secara pragmatik dengan menurunkan tarif dan halangan bukan tarif serta membenarkan pengguna dan perniagaan menentukan sama ada mahu membeli produk AS atau sebaliknya,” katanya.

Beliau turut memberi amaran bahawa jumlah dagangan mungkin merosot pada separuh kedua 2025 disebabkan aktiviti menambah belian pada awal tahun, bagaimanapun dalam tempoh jangka panjang akan berlaku penyesuaian dan normalisasi perdagangan walaupun dengan margin yang lebih rendah.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan