WILAYAH - SARAWAK > BERITA

BNM Dijangka Kekalkan Kadar Faedah Sepanjang 2025 Selepas Penurunan OPR

10/07/2025 01:25 PM

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Public Investment Bank Bhd (Public IB) menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan kadar faedah pada tahap yang sama sepanjang baki 2025, berikutan penurunan kadar dasar semalaman (OPR) baru-baru ini.

Semalam, BNM mengurangkan OPR sebanyak 25 mata asas (bps) kepada 2.75 peratus pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) keempat tahun ini, menandakan penurunan kadar pertama sejak Julai 2020.

Bagaimanapun, Public IB berkata kenyataan MPC pada Julai tidak memberi isyarat mengenai siri pengurangan kadar faedah.

Dalam nota penyelidikannya, bank itu berkata dengan kadar dasar sebenar masih berada dalam lingkungan positif dan jangkaan inflasi yang kukuh, langkah berkenaan nampaknya bertujuan untuk memberikan penampan awal dan bukannya menandakan permulaan kitaran pelonggaran penuh.

“Kami menilai kecenderungan dasar BNM sebagai bersifat akomodatif secara bersyarat, dengan sebarang pelarasan lanjut bergantung kepada kemerosotan ketara dalam suasana global atau kelemahan domestik yang lebih ketara.

“Dengan berbaki dua mesyuarat dasar (September dan November), BNM mengekalkan ruang dasar untuk bertindak balas. Bagaimanapun, ketidaktentuan yang sedang berlaku terutamanya berkaitan dasar perdagangan Amerika Syarikat (AS) dan permintaan global, mencadangkan pendekatan secara sabar yang berasaskan data,” katanya.

Sehubungan itu, Public IB mengekalkan unjuran OPR pada kadar 2.75 peratus sehingga akhir tahun 2025.

Begitu juga dengan Maybank Investment Bank Bhd yang menjangkakan tiada lagi pengurangan kadar pada tahun ini, manakala unjuran pendapatan untuk bank-bank Malaysia kekal tidak berubah.

“Kami telah menjangka dan mengambil kira kesan daripada satu pengurangan kadar pada separuh kedua 2025, di mana kami baru-baru ini mengurangkan margin faedah bersih (NIM) sebanyak dua hingga tiga mata asas (bps) secara purata, merentas semua pihak — oleh itu, unjuran pendapatan yang kami buat kekal tidak berubah.

“Bagi bank-bank dalam liputan kami, kami menjangkakan pemampatan NIM secara agregat sebanyak dua mata asas kepada purata 2.06 peratus pada 2025 dan NIM yang kekal mendatar pada 2026,” katanya sambil mengekalkan saranan ‘neutral’ terhadap sektor perbankan.

Sebaliknya, CIMB Investment Bank Bhd berkata kemungkinan penurunan OPR yang lain selepas Julai bergantung kepada data terkini, terutamanya yang berkaitan dengan pertumbuhan dan dinamik perdagangan.

Ia berkata ekonomi domestik kekal disokong oleh pasaran buruh yang sihat, dengan kadar pengangguran menurun kepada tiga peratus, menandakan keadaan asas yang mantap.

“Tekanan inflasi kekal terkawal, dengan inflasi keseluruhan diunjur pada 2.2 peratus, manakala ringgit meningkat 5.2 peratus sejak awal tahun ini, membantu mengurangkan tekanan kos import.

“Dinamik ini mencadangkan terdapat ruang dasar yang mencukupi sekiranya risiko penurunan terhadap pertumbuhan semakin serius pada separuh kedua 2025,” tambah bank pelaburan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan