WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Hanya Enam Pemain Asing Di Atas Padang - MFL

09/07/2025 09:13 PM

KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Liga Bolasepak Malaysia (MFL) hari ini mengumumkan pindaan peraturan pemain asing Liga Malaysia 2025-2026 yang menyaksikan kuota pemain asing di atas padang dikurangkan kepada enam berbanding tujuh pemain.

Keputusan itu dibuat hasil Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah (BOD) MFL ke-14 Bagi Penggal 2021-2025 selepas mengambil pertimbangan semula impak kepada Liga Malaysia dan juga perkembangan pemain tempatan.

MFL dalam kenyataan hari ini memaklumkan berdasarkan pindaan terbaharu itu, kuota pemain asing di atas padang adalah seramai 6+3 (simpanan) dengan komposisi 4 Terbuka+1 Asia+1 ASEAN berbanding sebelum ini 7+2 (simpanan) dengan komposisi 4 Terbuka+1 Asia+2 ASEAN.

“Keputusan untuk mengurangkan seorang pemain asing di atas padang dilihat dapat memberi sedikit keseimbangan antara pemain tempatan dan pemain asing dalam kesebelasan utama pasukan pada hari perlawanan.

“MFL percaya kehadiran pemain asing akan meningkatkan daya tarikan serta saingan dalam Liga Malaysia namun dalam masa yang sama perkembangan pemain tempatan juga menjadi agenda utama MFL untuk membantu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memperkasakan skuad Harimau Malaya,” menurut kenyataan itu.

Tambah MFL keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan kelab-kelab yang berpendapat kehadiran lebih ramai pemain ASEAN tidak memberi banyak impak kepada prestasi pasukan.

Bagaimanapun menurut badan induk itu, jumlah kuota pemain asing yang boleh didaftarkan dalam satu pasukan masih kekal kepada 15 pemain.

“Setiap kelab tidak diwajibkan untuk memenuhi kuota pemain asing ini sebaliknya ia bergantung kepada keperluan dan kemampuan kewangan kelab masing-masing.

“Ini kerana perbelanjaan kelab bakal dipantau menerusi pelaksanaan Peraturan Kewangan Adil (FFP) dengan menguatkuasakan mekanisme gaji siling (salary cap) sebanyak 80 peratus kepada setiap kelab musim ini,” katanya.

MFL turut mengumumkan kalendar Liga Malaysia 2025-2026 yang akan membuka tirai dengan Perlawanan Sumbangsih di antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC di Stadium Sultan Ibrahim, yang turut dikira sebagai aksi pertama Liga Super, adalah pada 8 Ogos ini.

Menurut MFL saingan Liga Super 2025-2026 dijangka berakhir pada 16 Mei 2026 iaitu kira-kira 10 bulan berbanding proses transisi Liga Malaysia selama 14 bulan pada musim lepas.

“Saingan Piala FA dijadual bermula pada 15 Ogos 2025 manakala perlawanan akhir akan berlangsung pada 14 Dis 2025.

“Kejohanan berprestij Piala Malaysia pula akan membuka tirai pada 17 Jan 2026 dan kemuncak perebutan kejuaraan pada 23 Mei 2026,” katanya.

Sementara itu, MFL memaklumkan saingan Piala Cabaran MFL pula bakal bermula pada 6 Feb 2026 dengan dua aksi perlawanan akhir pada 4 April 2026 dan 18 April 2026.

“MFL kali ini mengeluarkan kalendar penuh semusim berbanding musim lalu secara berperingkat bagaimanapun MFL ingin menjelaskan bahawa kemungkinan pindaan jadual akan berlaku memandangkan sesi undian Kejohanan Liga Juara-Juara Elit Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) (ACLE) dan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) oleh AFC bakal diadakan pada 15 Ogos 2025 melibatkan penyertaan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC.

“Malah dua kelab ini juga akan bertanding dalam Kejohanan Kelab ASEAN di mana jadual lengkap perlawanan kejohanan itu hanya dikeluarkan oleh AFF (Persekutuan Bola Sepak ASEAN) semalam sekali gus menyukarkan MFL untuk melengkapkan kalendar Liga Malaysia lebih awal untuk dikongsikan kepada kelab-kelab dan para penyokong,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan