WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Abdul Basir Dilantik Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan

09/07/2025 08:51 PM

KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) Dr Abdul Basir V Kunhimohamed dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif YWP yang baharu berkuat kuasa 1 Julai lepas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa yang juga Pengerusi YWP berkata pelantikan itu adalah bagi tempoh dua tahun.

Beliau berkata sepanjang memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif YWP dari 2024 hingga Jun 2025, Abdul Basir telah memainkan peranan penting dalam menyusun semula keutamaan strategik yayasan melibatkan kebajikan, pendidikan dan pembangunan masyarakat di Wilayah Persekutuan.

“Penglibatan beliau bersama organisasi antarabangsa di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) seperti Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) turut membuktikan kemampuannya dalam membina jaringan kerjasama rentas sempadan.

“Saya percaya dengan gabungan kepakaran dan pengalaman yang dimiliki, Abdul Basir mampu menerajui YWP dengan lebih dinamik bagi memperkukuh lagi agenda kebajikan dan kesejahteraan rakyat Wilayah Persekutuan sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Basir yang berkelulusan Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA) dalam bidang kewangan, berpengalaman luas dalam sektor pelaburan, pengurusan risiko serta strategi korporat.

Selain penglibatan aktif dalam bidang akademik dan penerbitan ilmiah, beliau turut berkecimpung dalam pelbagai organisasi yang merentasi bidang agama, undang-undang dan pembangunan komuniti.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan