KUALA TERENGGANU, 9 Julai (Bernama) -- Polis sedang giat mengesan sekumpulan remaja dipercayai bawah umur yang menunggang basikal lajak secara berbahaya di Jambatan Angkat di sini baru-baru ini.
Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairuddin berkata ia susulan aduan berkaitan video tular berdurasi kira-kira 40 saat yang memaparkan sekumpulan remaja menunggang basikal lajak menuruni jambatan secara melulu pada siang hari tanpa mempedulikan pengguna jalan raya lain.
Mohd Khairi berkata siasatan dijalankan untuk mengenal pasti semua individu terlibat yang didapati melakukan dua kesalahan iaitu mengubah suai basikal dan menunggang secara berbahaya.
"Penunggang basikal boleh dikenakan tindakan mengikut Peraturan 42(1)(a) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 1959 kerana menunggang basikal yang telah diubah suai sehingga membahayakan.
"Oleh itu, kita mengingatkan ibu bapa supaya mengawasi anak-anak dan tidak membenarkan mereka mengubah suai basikal secara berlebihan kerana perbuatan itu menyalahi undang-undang. Ibu bapa juga boleh dikenakan tindakan sekiranya didapati cuai mengawasi anak-anak," katanya ketika dihubungi hari ini.
Selain itu, Mohd Khairi berkata pihaknya akan meningkatkan rondaan di sekitar pusat bandar raya Kuala Terengganu serta kawasan tumpuan remaja bagi mencegah aktiviti berbahaya.
Beliau berkata orang ramai juga digesa supaya membuat aduan dan menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya berlaku sebarang aktiviti tidak sihat yang boleh mengganggu ketenteraman awam di tempat masing-masing.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial