WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Pengarah Syarikat Mengaku Tidak Bersalah Beri Pernyataan Palsu Kepada Pendaftar Syarikat

09/07/2025 04:44 PM

KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) --  Seorang pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Jenayah Kajang dekat sini atas dua pertuduhan memberikan pernyataan palsu mengenai pelantikan pengarah dan setiausaha syarikat kepada Pendaftar Syarikat.

Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dalam kenyataan memaklumkan bahawa Sandra Sheager Chidambaram didakwa pada 20 Jun lepas kerana membenarkan setiausaha syarikat Heiwa Sangyo Sdn. Bhd. membuat pernyataan palsu kepada SSM.

Sekiranya disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 593(a) Akta Syarikat 2016 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda maksimum RM3 juta atau kedua-duanya sekali.

Menurut kenyataan itu, Hakim Mazuliana Abdul Rashid membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 22 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen oleh pihak pendakwaan.

Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa SSM Abdul Hadi Abdul Muti manakala tertuduh diwakili peguam Goh Cia Yee.

SSM turut mengingatkan bahawa tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati memberikan pernyataan, maklumat atau laporan palsu atau mengelirukan kepada SSM.

“SSM sentiasa konsisten dalam usaha mengawal selia pematuhan terhadap peruntukan undang-undang yang ditadbir, di samping memastikan komuniti korporat kekal peka terhadap tanggungjawab serta mengamalkan etika perniagaan yang berintegriti,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan