WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Suami Isteri Mengaku Tidak Bersalah Terima Bayaran Urusan Haji Tanpa Lesen Sah

09/07/2025 02:38 PM

SEREMBAN, 9 Julai (Bernama) -- Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima bayaran bagi urusan haji tanpa lesen pengelola haji yang sah daripada seorang individu. 

Mhd Lihan Sabari, 60, dan Noor Nisrin Mahlim, 58, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam.

Mereka bersama-sama didakwa membuat transaksi perniagaan mengelolakan perjalanan ke tanah suci bagi maksud menunaikan haji dengan menerima bayaran sebanyak RM81,000 daripada seorang wanita tanpa lesen pengelola jemaah haji yang sah pada 4 hingga 7 April lepas di cawangan sebuah bank di Mantin.

Pertuduhan mengikut Seksyen 27(1)(a) Akta Tabung Haji 1955 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 27(2)(a) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. 

Bagi kesalahan pertama boleh didenda tidak kurang RM100,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan kedua boleh didenda tidak kurang RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Syamimi Farhana Muhammad A Aziz mencadangkan jaminan RM20,000 dikenakan terhadap setiap tertuduh dengan seorang penjamin tempatan berserta syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Peguam Mohd Razak Sharif yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon jumlah jaminan yang rendah atas alasan anak guamnya merupakan pekebun sawit dengan pendapatan RM2,500 hingga RM3,000 sebulan manakala isteri tidak bekerja serta perlu menanggung tiga anak.

Mahkamah kemudian menawarkan jaminan RM12,000 setiap tertuduh dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri di balai polis Yong Peng setiap bulan serta tidak menganggu mangsa sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 11 Ogos untuk serahan dokumen.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan