WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kepusatan ASEAN Harus Kekal Sebagai Pedoman - PM Anwar

09/07/2025 12:39 PM

Oleh Yasmin Ahmad Zukiman

KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menekankan keperluan untuk ASEAN terus kekal bersatu dan berdaya tahan susulan ketidakstabilan global yang semakin meningkat serta menyeru negara anggota agar memperkukuh Kepusatan ASEAN selain menjadikan ia sebagai pedoman.

Ketika menyampaikan ucapan perasmian Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan di sini, Anwar berkata ASEAN perlu kekal sebagai tonggak utama rantau ini bagi dialog dan kerjasama selain terus menawarkan nilai kepada rakan dialog.

"Kepusatan ASEAN harus menjadi pedoman utama kita seperti yang dilihat melalui usaha berterusan dalam memperkukuh dan memperbaharui institusi-institusi yang diterajui ASEAN.

“Kita mesti kekal sebagai tonggak utama bagi dialog serantau sebagaimana Rakan Dialog kita harus terus dapat melihat nilai untuk menjalin hubungan dengan kita,” katanya. 

Perdana Menteri turut menyifatkan landskap global semasa sebagai keadaan yang menyaksikan kepastian lama semakin memudar dan ancaman baharu mula muncul, justeru mesyuarat ini berlangsung di tengah-tengah terlerainya andaian lama apabila kuasa menggugat prinsip dan ketenangan tidak lagi boleh diambil mudah.

“Tatanan global kini semakin merapuh. Konflik, pemaksaan dan rasa curiga kini membelenggu terlalu banyak hubungan antarabangsa dan begitu banyak nyawa terkorban atau terkesan akibatnya,” kata beliau.

Pada masa sama, Anwar meluahkan kebimbangan yang mendalam terhadap krisis berpanjangan termasuk konflik di Gaza, perang di Ukraine dan keganasan di beberapa kawasan di Afrika serta situasi yang kian meruncing di Myanmar.

“Di Gaza dan Palestin, kita menyaksikan penderitaan yang tidak berkesudahan seluruh rakyatnya, yang turut dinafikan maruah serta keadilan sejak beberapa generasi. Di Ukraine, perang masih berlarutan. Di beberapa kawasan di Afrika, keganasan yang terus berlaku telah menyebabkan perpindahan dan kemusnahan. Dan di Myanmar, keamanan sukar digapai malah penderitaan semakin mendalam,” katanya.

Perdana Menteri turut merujuk kepada ketegangan yang kian memuncak di Timur Tengah di mana tindakan sesebuah negara terhadap jirannya menjadi ancaman yang boleh mencetuskan konflik serantau yang lebih besar dan risiko yang dihadapi amat serius terhadap keselamatan tenaga, kestabilan global serta integriti undang-undang antarabangsa.

Anwar juga berkata sistem multilateralisme tidak akan mampu bertahan jika prinsipnya hanya ditegakkan apabila ia menguntungkan, justeru ASEAN perlu menjadi antara pihak yang mempertahankan peraturan walaupun pihak lain memilih untuk menjauhkan diri.

Mengimbas kembali permulaan ASEAN, Perdana Menteri mengingatkan para delegasi bahawa pembentukan blok serantau itu tidak terhasil daripada proses yang mudah sebaliknya menerusi usaha gigih membina kepercayaan dalam kalangan negara anggota dengan sejarah yang rumit.

“Namun kita berjaya mengekalkan keamanan dan memperluas kemakmuran dengan cara yang jarang mampu ditandingi oleh rantau lain. Kita berjaya melakukannya dengan memupuk kerjasama dan kesediaan untuk terus berunding, walaupun masa lalu penuh dengan cabaran dan masa kini penuh dengan ujian.”

Beliau turut menegaskan bahawa kekuatan ASEAN bukanlah kerana tiada ketegangan tetapi pada keupayaannya mengurus ketegangan itu secara membina.

“Kekuatan rantau kita bukan kerana tiada ketegangan tetapi kerana komitmen kita untuk menguruskannya secara saling menghormati, dialog berterusan dan kesepakatan serantau,” katanya.

Anwar turut menyatakan sokongan Malaysia terhadap penyertaan penuh Timor-Leste ke dalam ASEAN dan menyifatkan kemasukan negara itu, yang dijangka pada Oktober ini, sebagai satu detik bersejarah.

“Saya menggesa semua negara anggota agar terus menyokong laluan Timor-Leste ke arah integrasi penuh, bukan sahaja ke dalam institusi kita tetapi juga ke dalam visi bersama kita untuk masa depan rantau ini,” kata Perdana Menteri.

AMM ke-58 dan mesyuarat berkaitan, yang diadakan di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia bagi tahun 2025 dengan tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ menyaksikan 24 mesyuarat pada peringkat menteri yang melibatkan Rakan Dialog ASEAN dan Rakan Dialog sektoral.

Mesyuarat peringkat tinggi yang berlangsung selama empat hari itu menghimpunkan kira-kira 1,500 perwakilan termasuk Menteri-Menteri Luar ASEAN, Timor-Leste, Rakan Dialog ASEAN, Peserta Forum Serantau ASEAN (ARF), Rakan Dialog Sektoral serta para pegawai kanan Sekretariat ASEAN.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan