WILAYAH - SARAWAK > BERITA

P.Pinang Rancang Perbanyak FSP Bantu Mangsa Keganasan Rumah Tangga

08/07/2025 10:58 PM

Daripada Mohd Khairi Idham Amran

GENEVA (Switzerland), 8 Julai (Bernama) -- Kerajaan Pulau Pinang merancang memperbanyak Titik Sokongan Pertama (First Support Points) (FSP), iaitu individu yang terlatih dalam menangani kes keganasan rumah tangga di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam Pulau Pinang Lim Siew Khim berkata FSP bertindak sebagai barisan pertama yang akan merujuk kes-kes keganasan rumah tangga kepada agensi berkaitan secara sulit dan berkesan.

“Kita sudah melatih lebih 500 FSP dan kita akan memperluas FSP ini,” katanya kepada media di sini, baru-baru ini.

Aplikasi Penang Stop Violence yang dibangunkan oleh Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) bersama kerajaan negeri bagi menghubungkan mangsa keganasan rumah tangga dengan FSP meraih johan bagi kategori C10: Ethical Dimension of the Information Society pada Anugerah Sidang Kemuncak Masyarakat Maklumat Sedunia (WSIS) 2025.

“Kerajaan negeri akan terus komited untuk memperluas inisiatif ini serta meneroka lebih banyak pendekatan berasaskan teknologi yang mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan rakyat demi mewujudkan Pulau Pinang yang lebih baik dan lebih selamat untuk semua,” katanya.

Anugerah WSIS dianjurkan oleh Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) dengan kerjasama agensi-agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi meraikan projek teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang memacu kemajuan ke arah Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan