KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Keuntungan bersih suku pertama berakhir 31 Mei 2025, AEON Credit Service (M) Bhd susut kepada RM77.55 juta berbanding RM106.41 juta yang dicatatkan dalam suku yang sama tahun sebelum ini.
Pendapatan meningkat kepada RM599.92 juta daripada RM522.26 juta disebabkan oleh pinjaman dan kewangan yang lebih kukuh, kata peminjam bukan bank itu melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
"Setakat 31 Mei 2025, penghutang pembiayaan kasar berjumlah RM14.632 bilion, penghutang pembiayaan bersih selepas elaun untuk kerugian kemerosotan adalah RM13.815 bilion, nisbah pinjaman yang tidak berbayar meningkat kepada 2.57 peratus dan nisbah liputan kerugian pinjaman kekal sihat pada 217 peratus," katanya.
Kumpulan itu ketika bercakap mengenai prospek mengekalkan pendirian perniagaan yang berhati-hati disebabkan oleh ketidakpastian dalam dasar perdagangan serta tarif global yang berterusan, ketegangan geopolitik, tekanan inflasi dan turun naik dalam pasaran kewangan global.
"Ia akan terus berhemat, meletakkan penekanan pada pengembangan kualiti aset selain memantau dengan teliti risiko kredit yang wujud dalam portfolio pembiayaannya.
"Kumpulan juga akan sentiasa melonjakkan keupayaan teknologi maklumatnya bagi meningkatkan kecekapan operasi sambil mewujudkan ekosistem yang akan dibina dari kumpulan syarikat AEON yang beroperasi di Malaysia (AEON Living Zone) untuk mengembangkan jangkauan pelanggan," katanya.
Tanpa mengambil kira sebarang keadaan yang tidak diduga, kumpulan itu menjangkakan untuk mengekalkan momentum perniagaannya dengan melaksanakan langkah-langkah yang sesuai bagi tahun kewangan berakhir pada 28 Februari 2026.
Sementara itu, dalam satu kenyataan hari ini, kumpulan itu akan terus mengutamakan kecekapan operasi dan meneruskan pelaburan strategik, termasuk dalam teknologi untuk memacu pertumbuhan jangka panjang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial