WILAYAH - SARAWAK > BERITA

China Nyata Kesediaan Tandatangani SEANWFZ Tanpa Reservasi - Mohamad Hasan

08/07/2025 07:22 PM

KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- China telah menyatakan kesediaan untuk menandatangani Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) tanpa reservasi, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata selain China, dua hingga tiga negara senjata nuklear telah menghubungi Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025, untuk meneruskan perbincangan mengenai perjanjian berkenaan yang tertangguh sebelum ini.

"Ini satu perkembangan yang baik," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Suruhanjaya SEANWFZ yang berlangsung Selasa, sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Bagaimanapun, Mohamad tidak menamakan negara-negara berkenaan.

Pada 2 Julai lepas, Mohamad dilaporkan berkata China dan Rusia menyatakan kesediaan manakala Amerika Syarikat (AS) sedang meneliti untuk menandatangani perjanjian tersebut.

Pada masa sama, Mohamad berkata mesyuarat hari ini telah bersetuju untuk menerima kemasukan Timor-Leste sebagai anggota rasmi SEANWFZ yang akan dimuktamadkan pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, Oktober ini.

“Perkara-perkara lain akan terus diperkemas dan diperkasa dari segi modus operandi kerana kita mahu negara anggota ASEAN benar-benar memahami peranan masing-masing. Pada masa sama kita juga mahu blok SEANWFZ menjalin hubungan dengan blok zon bebas senjata nuklear di rantau lain.

"Itu yang hendak dilakukan agar kita dapat kesamaan dan berbincang cara untuk pastikan dunia ini bebas daripada ancaman senjata nuklear," katanya.

Perjanjian SEANWFZ, juga dikenali Perjanjian Bangkok, ditandatangani pada Disember 1995 di ibu negara Thailand oleh 10 negara anggota ASEAN dan berkuat kuasa pada Mac 1997.

Di bawah protokol itu, setiap NWS perlu menghormati Perjanjian SEANWFZ serta  tidak menyumbang kepada apa-apa perilaku yang merupakan pelanggaran kepada perjanjian dan protokolnya, tidak menggunakan atau mengancam menggunakan senjata nuklear terhadap mana-mana pihak selain tidak menggunakan atau mengancam menggunakan senjata nuklear dalam zon berkenaan.

SEANWFZ ialah satu daripada lima Zon Bebas Senjata Nuklear (NWFZ) di dunia. Empat lagi NWFZ ialah di Amerika Selatan dan Caribbean, Pasifik Selatan, Afrika dan Asia Tengah. 

AMM ke-58 dan mesyuarat berkaitan bermula hari ini hingga 11 Julai, menghimpunkan kira-kira 1,500 perwakilan terdiri daripada menteri luar ASEAN, Timor-Leste, rakan dialog ASEAN, negara peserta Forum Serantau ASEAN (ARF), rakan dialog sektoral dan pegawai kanan Sekretariat ASEAN.

Malaysia menjadi tuan rumah AMM sebagai sebahagian daripada Kepengerusian ASEAN buat kali kelima, selepas pernah memegang peranan berkenaan pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan