WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MyCC Kenakan Penalti Hampir RM3 Juta Terhadap Tiga Syarikat Terlibat Kartel Tipuan Bida

08/07/2025 06:14 PM

KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mengenakan penalti berjumlah RM2.98 juta terhadap tiga perusahaan kerana terlibat dalam kartel tipuan bida tender kerja-kerja penyelenggaraan. 

Ketua Pegawai Eksekutif MyCC Datuk Iskandar Ismail berkata tiga syarikat berkenaan adalah Abadi Malaysia Sdn Bhd (Abadi Malaysia), Kota Lanskap Sdn Bhd (Kota Lanskap) dan Usia Maintenance Sdn Bhd (Usia Maintenance). 

Beliau berkata aktiviti kartel itu membabitkan enam tender dikeluarkan Perbadanan Putrajaya (PPj) antara 2018 hingga 2021 bernilai hampir RM45 juta dan didapati melanggar Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 (Akta 712). 

"Susulan daripada aduan mengenai aktiviti tipuan bida melibatkan beberapa projek berkaitan penyelenggaraan bangunan dan fasiliti, landskap serta kerja kejuruteraan awam di Putrajaya, MyCC menjalankan penilaian awal dan mengenal pasti sembilan perusahaan disyaki terlibat dalam kartel tipuan bida.

“Siasatan penuh kemudiannya dijalankan termasuk serbuan ke atas premis-premis perusahaan terlibat, pengambilan pernyataan daripada 24 individu, permohonan maklumat serta analisis bukti yang berkaitan,” katanya pada sidang media di pejabat MyCC di sini hari ini. 

Iskandar berkata hasil siasatan pihaknya, MyCC telah mengeluarkan Keputusan Cadangan terhadap tiga perusahaan terbabit pada 10 Sept 2024 dan menerima representasi mereka pada 11 Nov 2024 dan 13 Mac 2025. 

"Selepas meneliti representasi itu secara menyeluruh, MyCC mendapati bahawa perusahaan terbabit melanggar Akta 712 dan mengeluarkan keputusan pelanggaran semalam," katanya. 

Beliau berkata aktiviti kartel berkenaan telah dikoordinasikan oleh Abadi Malaysia dengan siasatan mendapati terdapat penyelarasan untuk membida tender oleh perusahaan-perusahaan terbabit yang dilakukan melalui perkongsian maklumat menerusi WhatsApp, e-mel dan beberapa mesyuarat. 

“MyCC juga mendapati bahawa dokumen tender disediakan oleh pekerja daripada ketiga-tiga perusahaan di satu lokasi sama di bawah penyelarasan Abadi Malaysia melalui seorang pengarah syarikat berkenaan. Modus operandi ini telah digunakan oleh kumpulan kartel ini dalam kesemua enam projek,” katanya. 

Iskandar berkata semasa serbuan dijalankan, pihaknya menemui dokumen milik semua perusahaan di premis Kota Lanskap yang menunjukkan wujudnya penyelarasan secara berpusat antara perusahaan berkaitan penyediaan dokumen tender. 

"Pakatan ini menyebabkan Usia Maintenance dan Abadi Malaysia masing-masing memenangi dua tender, namun begitu, mereka tetap didapati bersalah bagi empat tender selebihnya kerana bukti menunjukkan tingkah laku kartel dalam keempat-empat tender terbabit,” katanya. 

Beliau berkata bagi perusahaan Kota Lanskap pula, MyCC mendapati syarikat itu turut menunjukkan tingkah laku kartel sama sepanjang keseluruhan proses penyediaan dan penghantaran dokumen tender untuk kesemua enam tender.

Iskandar berkata siasatan mendapati pengarah-pengarah syarikat berkenaan mempunyai hubungan kekeluargaan serta rakan antara satu sama lain, namun tiada pegawai PPj yang terlibat dengan aktiviti kartel berkenaan.

“Kami mempunyai kira-kira 14 kes yang sedang berjalan dan kami sedang menyiasat lebih daripada 500 syarikat yang melibatkan nilai tender berjumlah RM2.3 bilion. Kami masih dalam proses siasatan,” katanya.

Beliau berkata semua pemain pasaran diseru untuk mengambil iktibar daripada kes berkenaan dan memperbaharui komitmen mereka terhadap amalan perniagaan yang beretika.

“Setiap perniagaan mesti bersaing berdasarkan merit dan bukannya melalui pakatan sulit, manakala organisasi awam dan swasta pula harus sentiasa berwaspada terhadap tanda-tanda tingkah laku antipersaingan dalam pelaksanaan proses perolehan mereka,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan