WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Rundingan Bersama Pearly-Thinaah Sangat Positif - BAM

08/07/2025 01:51 PM

KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Adakah beregu wanita nombor satu negara Pearly Tan-M. Thinaah terus setia bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM)?

Kebarangkalian pasangan ketiga dunia itu bersama badan induk sukan berkenaan nampaknya semakin tinggi selepas Setiausaha Agung BAM Datuk Kenny Goh mengesahkan rundingan bersama mereka positif.

“Perbincangan berlangsung sangat positif dan kami mahu yang terbaik (rundingan bersama Pearly-Thinaah),” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di sini hari ini.

Minggu lepas, Presiden BAM Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata status Pearly-Thinaah bersama BAM hanya akan diketahui sebelum Terbuka Jepun pada 15 Julai ini.

Sebelum ini, media melaporkan pasangan berkenaan masih belum menandatangani kontrak baharu bersama BAM selepas kontrak terdahulu tamat pada Disember lepas.

Di sebalik ketidaktentuan masa depan mereka bersama BAM, Pearly-Thinaah tetap menunjukkan prestasi cemerlang apabila menjuarai Terbuka Thailand pada Mei, menumpaskan wakil Korea Selatan Jeong Na Eun-Lee Yeon Woo 21-16, 21-17.

Mengenai pelantikan sebagai Timbalan Ketua Kontinjen (CDM) ke Sukan SEA 2025, Kenny berharap dapat memberi nilai tambah kepada kontinjen negara sepanjang temasya sukan dwitahunan berlangsung dari 9 hingga 20 Dis di Bangkok, Chonburi, dan Songkhla. 

“Ini satu penghargaan bagi saya tetapi pada masa sama, rasa rendah diri. Kalau kita tengok nama dilantik itu semua legenda sukan kecuali saya yang hanya pentadbir sukan sahaja,” katanya.

Semalam, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengumumkan legenda renang negara Nurul Huda Abdullah dilantik sebagai CDM ke Sukan SEA 2025.

Nurul Huda, 52, yang juga Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) baharu akan dibantu Kenny, bekas raja pecut Asia Tenggara Nazmizan Muhammad dan bekas pemain hoki kebangsaan Jivan Mohan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan