WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Penghantar Makanan Mengaku Tidak Bersalah Pandu Melulu

08/07/2025 01:47 PM

SEREMBAN, 8 Julai (Bernama) -- Seorang penghantar makanan yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga mendatangkan bahaya kepada orang awam, Ahad lepas.

Iskandar Abd Asri, 20, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Saiful Sayoti.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu pada kira-kira 2 pagi di Jalan Persiaran Senawang 1 mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun dan denda RM15,000 selain hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama lima tahun manakala lesen memandu percubaan boleh dibatalkan, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, Iskandar mengaku bersalah atas pertuduhan tidak memiliki lesen yang membenarkan dia memandu kereta itu pada masa, tarikh dan lokasi sama mengikut Seksyen 26(1) APJ 1987 yang membawa hukuman maksimum penjara tiga bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Zul Azrin Zainuddin menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 bagi kedua-dua pertuduhan manakala peguam Noor Syairah Izzati Md Noor, yang mewakili tertuduh, meminta jaminan rendah atas alasan anak guamnya berpendapatan rendah selain perlu menanggung ibu dan tiga adik.

“Bapanya meninggal dunia ketika tertuduh berusia 10 tahun dan sejak itu, hanya ibunya yang menyara mereka sebagai penjual kuih dengan pendapatan RM50 ke RM80 sehari,” katanya sambil menambah ini juga adalah kesalahan pertama Iskandar yang tidak akan melarikan diri kerana menetap di sini.

Mahkamah kemudian membenarkan Iskandar diikat jaminan masing-masing RM3,000 dan RM300 bagi pertuduhan pertama serta kedua dengan seorang penjamin selain menetapkan 21 Ogos ini sebagai sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan laporan sosial.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan