WILAYAH - SARAWAK > BERITA

BRI, Inisiatif Berpandangan Jauh Dan Bercita-cita Tinggi - PM Senegal

07/07/2025 04:48 PM

BEIJING, 7 Julai (Bernama-CMG) -- Perdana Menteri Senegal, Ousmane Sonko menganggap Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) sebagai amat berpandangan jauh dan bercita-cita tinggi, ia sekali gus memperlihatkan kebijaksanaan strategik dan kepimpinan Presiden China Xi Jinping.

Senegal ialah negara pertama dari rantau Afrika Barat yang menyertai BRI.

"Inisiatif ini komited untuk kemakmuran bersama, dan ini amat penting," kata Sonko ketika ditemu bual bersama Kumpulan Media China (CMG) baru-baru ini.

"Dalam tempoh beberapa tahun sahaja, banyak tempat di Afrika telah menyaksikan perubahan besar, berikutan pelaksanaan BRI.

Ia (BRI) bukanlah satu acuan yang dipaksakan ke atas semua negara, sebaliknya cara kerjasama yang membolehkan setiap negara berunding dengan China berdasarkan kepentingan  masing-masing," kata Sonko.

Beliau menyatakan bahawa negara-negara Afrika mempunyai keprihatinan yang berbeza. Ada yang mahu membangunkan kemudahan sukan, ada yang memberi tumpuan kepada pembinaan lebuh raya, dan ada juga yang mengutamakan pembangunan industri.

Perbincangan China dengan setiap negara rakan kerjasama dilaksanakan berdasarkan konteks ini, iaitu demi kebaikan bersama, kata  beliau.

Sonko telah mengadakan lawatan ke China pada Jun lepas. Beliau berpeluang berjumpa dengan banyak wakil syarikat dari China yang menunjukkan minat untuk mengadakan kerjasama dengan Senegal.

Ketika mengulas   lawatannya ke sebuah syarikat teknologi tinggi di Hangzhou, Sonko menyatakan bahawa beliau amat kagum melihat pencapaian syarikat terbabit dalam sektor kecerdasan buatan (AI), dan beliau menganggap hasil syarikat itu tiada tandingan di peringkat global.

“Walaupun masih menghadapi pelbagai cabaran dari segi sumber dan persekitaran, namun kami memiliki ramai bakat muda yang berpotensi tinggi. Mereka telah menunjukkan keupayaan dalam bidang-bidang seperti AI.

"Oleh itu, kami berharap kerjasama antara Afrika dan China pada masa depan boleh lebih memfokuskan pada sektor-sektor maju seperti AI," kata Sonko lagi.

-- BERNAMA-CMG

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan