Oleh Noorazlina Jindeh
KOTA KINABALU, 6 Julai (Bernama) -- Yan Jia Chi atau lebih dikenali sebagai Angie, menjadi ‘permata’ berharga buat Malaysia dalam sukan Muay Thai di peringkat dunia selepas kejayaannya meraih beberapa pingat emas dan pengiktirafan antarabangsa.
Angie, 21, seorang 'Sumandak' (gadis muda dalam bahasa Kadazandusun), merupakan pemenang pingat emas sebanyak tiga kali dalam Kejohanan Dunia Senior Bawah 23 Tahun (U23) anjuran Persekutuan Muaythai Antarabangsa (IFMA) iaitu pada 2023 di Thailand, 2024 (Greece) dan 2025 (Turkiye).
Bekas pemain piano yang mula meminati sukan Muay Thai sejak tujuh tahun lepas itu, turut merangkul pingat emas dalam kategori solo wanita Wai Kru di Kejohanan Asia IFMA yang berlangsung di Wilayah Thai Nguyen, Vietnam tahun ini.
Angie, yang dilahirkan di Johor tetapi dibesarkan di Sabah, negeri asal ibunya manakala bapanya asal Johor, telah mewakili Malaysia dalam memperkenalkan sukan bela diri itu semasa Sukan Olimpik Paris 2024 sekali gus menyumbang kepada usaha mempromosi Muay Thai di peringkat global.
Angie turut mencipta sejarah dalam Sukan Malaysia (SUKMA) apabila meraih pingat emas bagi kategori Mai Muay duo di Kuala Lumpur pada 2022, iaitu tahun pertama sukan itu dipertandingkan dalam temasya tersebut dan seterusnya mengekalkan pingat emas sekali lagi di SUKMA 2024 di Sarawak.
Berkongsi cerita bersama Bernama, Angie mengimbas kembali detik pertama dia diperkenalkan dengan sukan Muay Thai ketika menemani rakannya ke sebuah gim di Kota Kinabalu di sini, dan mendapati sukan itu sangat menarik.
“Awalnya saya seorang pemain piano. Saya menghabiskan beberapa tahun belajar dan berlatih piano hinggalah pada satu hari saya ikut rakan ke gim. Saya tidak berlatih, hanya duduk dan memerhati tetapi apabila saya lihat betapa menariknya sukan itu, saya memutuskan untuk cuba kelas Muay Thai buat kali pertama.
“Dari situlah bermulanya perjalanan saya. Sejak itu, saya teruskan dan kini di universiti rutin saya adalah pergi kelas dan berlatih pada waktu petang kira-kira dua jam setiap hari,” katanya yang kini melanjutkan pengajian dalam bidang Pelancongan dan Rekreasi di sebuah universiti di Thailand.
Bagaimanapun, anak sulung daripada tiga beradik itu berkata dia akan melipatgandakan latihan sekitar empat hingga enam jam sehari, iaitu sesi pagi dan petang jika menghadapi sesuatu kejohanan. Untuk rekod, pertandingan pertama disertainya adalah di Karnival Pelapis Kebangsaan Sukan Muaythai di Kuala Lumpur pada 2019.
Mengenang kembali perjalanan sebagai atlet Muay Thai, Angie berkongsi satu kenangan pahit pada 2023 apabila kedua-dua lututnya mengalami kecederaan serius dan bengkak serta memerlukan rehat yang lama tetapi dia tidak dapat pulih sepenuhnya disebabkan oleh jadual pertandingan yang berturut-turut.
“Saya tidak boleh berhenti berlatih walaupun ketika itu badan saya benar-benar perlukan rehat. Dari segi fizikal, cabarannya adalah untuk menguruskan latihan, kecederaan, kesakitan dan keletihan otot, terutamanya semasa tempoh latihan intensif.
“Dari segi mental pula, kadang-kadang sukar untuk kekal bersemangat. Saya cuba paksa diri untuk beraksi sebaik mungkin bila masuk gelanggang dan sering membandingkan pencapaian orang lain. Ada harinya saya letih, mula meragui diri sendiri atau terasa seperti perkembangan prestasi saya tidak cukup pantas,” katanya yang turut mengambil berat aspek pemakanan terutama kepentingan minum air yang cukup setiap hari.
Mula menjalani latihan di Thailand pada 2023, Angie berkata dia memilih untuk berlatih di negara jiran itu itu kerana ia merupakan tempat ‘kelahiran’ sukan Muay Thai.
Selain latihan di sana bersifat intensif dan tradisional, dia juga mendapat manfaat besar apabila berlatih terus dengan jurulatih Thai yang berpengalaman, dan berada dalam kalangan atlet berprestasi tinggi membantu mempercepatkan prestasi dirinya.
“Akan datang, saya berharap dapat terus meningkatkan prestasi dan bertanding di peringkat lebih tinggi sekali gus membawa nama negara dan Sabah ke persada dunia,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial