KUALA LUMPUR, 6 Julai (Bernama) -- Juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) memperkukuh jentera serangan bagi musim 2025 dengan membawa masuk penyerang warisan kebangsaan Joao Figueiredo.
Perkembangan itu diumumkan menerusi media sosial rasmi kelab hari ini, yang turut memaparkan pemain kelahiran Brazil itu menyarung jersi nombor 25 bersama skuad Harimau Selatan.
“Joao Figueiredo membawa komitmen dan semangat juangnya ke Johor Darul Ta’zim FC. Beliau kini menjadikan Johor sebagai rumah baharunya bersama Southern Tigers,” menurut kenyataan kelab.
Figueiredo, 29, menyertai JDT selepas mencatat tujuh jaringan dan dua bantuan gol bersama Istanbul Basaksehir dalam saingan Liga Super Turki musim lalu.
Pemain naturalisasi itu turut melakukan penampilan sulung bersama skuad Harimau Malaya pada 10 Jun lepas, dan berjaya membuka tirai jaringan ketika Malaysia menewaskan Vietnam 4-0 dalam aksi kelayakan Piala Asia di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Penyertaannya menjadikan beliau pemain warisan ketiga yang menyertai JDT musim ini selepas pemain tengah Belanda-Malaysia, Hector Hevel dan pertahanan Sepanyol-Malaysia, Jon Irazabal, sekali gus menambah variasi taktikal dalam perancangan pasukan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial