KUALA NERUS, 3 Julai (Bernama) -- Kemampuan barisan skuad baharu Terengganu FC (TFC) akan diuji menerusi enam perlawanan persahabatan sebagai persediaan menghadapi saingan Liga Super musim 2025/26.
Ketua jurulatih Badrul Afzan Razali berkata skuad Penyu akan bertemu Kelantan Red Warrior terlebih dahulu di Kota Bharu pada 4 Julai sebelum melayan kunjungan Penang FC di Kuala Terengganu pada 8 Julai.
Beliau berkata pada 13 hingga 18 Julai pula, pasukan TFC yang berpengkalan di Gong Badak, Kuala Nerus akan berkampung di ibu negara untuk empat lagi perlawanan persahabatan termasuk dua kelab ASEAN.
"Pada 13 Julai, TFC akan berdepan PDRM FC diikuti kelab Kemboja Svay Rieng FC (15 Julai); UM Damansara United (16 Julai) dan Phnom Penh Crown FC (18 Julai).
"Selepas itu kita akan kembali ke Terengganu dan mungkin merangka beberapa perlawanan pramusim yang lain sebelum liga musim 2025/26 dijangka bermula pada pertengahan Ogos depan," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Kompleks Sukan Gong Badak di sini.
Badrul Afzan berkata beliau telah membentuk skuad penuh yang dibarisi 22 pemain tempatan dan enam pemain import.
Dua daripada tonggak import, iaitu Nurillo Tukhtasinov dan Junior Ngong Sam telah mula menjalani latihan bersama rakan sepasukan semalam, manakala empat lagi bakal tiba di bumi Darul Iman selewat-lewatnya pada minggu ketiga bulan ini.
"Skuad kali ini adalah kombinasi 60 peratus muka baharu dan 40 peratus muka lama. Untuk musim ini kita juga bawa masuk Tengku Hazman Raja Hassan yang berpengalaman membimbing pasukan luar sebagai pembantu ketua jurulatih.
"Untuk perlawanan persahabatan kita mungkin akan menurunkan pemain tempatan sahaja. Semua pemain dalam keadaan baik kecuali penjaga gol Mohd Suhaimi Husin dan pemain pertahanan Muhammad Alif Zakaria yang masih dibelenggu kecederaan sejak musim lepas," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial