Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 30 Jun (Bernama) -- Set tren pertama daripada lapan untuk Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura diperkenalkan pada Isnin, menandakan satu lagi pencapaian penting dalam projek rel rentas sempadan Malaysia-Singapura.
Tren yang dihasilkan oleh CRRC Zhuzhou Locomotive Co Ltd itu diperkenalkan oleh Menteri Pengangkutan Malaysia, Anthony Loke dan Pemangku Menteri Pengangkutan Singapura, Jeffrey Siow, di Pusat Ujian Rel Singapura (SRTC).
Pengerusi RTS Operations Pte Ltd (RTSO), Datuk Khairil Anwar Ahmad, berkata Tren 01 yang tiba di Singapura pada April 2025 akan menjalani Ujian Integrasi Sistem Luar Tapak (OSIT) di SRTC sebagai persediaan untuk integrasi dan operasi penuh.
Set tren 02 hingga 05 telah dihantar ke fasiliti pembuatan tren CRRC di Batu Gajah, Malaysia dan sedang dalam proses pemasangan, manakala set tren 06 hingga 08 akan melalui proses yang sama selepas ini.
“Apabila pemasangan selesai, set tren ini akan dipindahkan ke Depoh Wadi Hana di Johor Bahru untuk ujian lanjut dan persiapan akhir sebelum ditauliahkan untuk perkhidmatan penumpang,” katanya pada majlis pelancaran itu pada Isnin.
Dalam kenyataan bersama, Kementerian Pengangkutan Malaysia dan Singapura memaklumkan OSIT yang dijadualkan siap pada suku keempat tahun ini akan dilaksanakan oleh RTSO, syarikat usaha sama antara Prasarana RTS Operations Sdn Bhd dan SMRT RTS Pte Ltd untuk mengendalikan perkhidmatan RTS Link.
Semasa fasa ujian ini, RTSO akan menjalankan pemeriksaan integrasi antara tren dengan sistem rel lain seperti sistem isyarat, pintu platform automatik dan sistem komunikasi dalam tren.
“Pelaksanaan ujian luar tapak awal di SRTC membolehkan RTSO mengenal pasti dan menyelesaikan isu integrasi lebih awal sebelum ujian dijalankan di landasan RTS Link,” menurut kenyataan itu.
RTS Link dijangka memulakan operasi penumpang menjelang Disember 2026, menghubungkan Bukit Chagar di Johor Bahru ke Woodlands North di Singapura.
Apabila beroperasi kelak, RTS Link akan menggunakan lapan set tren tanpa pemandu, setiap satu terdiri daripada empat gerabak dengan kapasiti membawa lebih 600 penumpang setiap tren.
RTS Link akan mempunyai kapasiti puncak sehingga 10,000 penumpang sejam bagi setiap hala.
Untuk memudahkan perjalanan lancar, kemudahan Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) akan disediakan di kedua-dua stesen, membolehkan penumpang hanya perlu menjalani pemeriksaan imigresen di stesen berlepas.
Menurut RTSO, kerja-kerja sistem rel projek ini berjalan lancar dengan kadar kemajuan sekitar 56 peratus setakat ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial