WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Pelbagai Produk Inovasi Nanas Diperkenal Sempena Hari Nanas Malaysia

28/06/2025 07:35 PM

JOHOR BAHRU, 28 Jun (Bernama) -- Sebanyak 22 produk inovasi berasaskan nanas berjaya dibangunkan oleh Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) bersama pengusaha tempatan sepanjang tempoh 2021 hingga 2024 sebagai langkah memperkasakan industri hiliran nanas negara menuju Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Pengarah Bahagian Pembangunan Produk dan Bioteknologi LPNM Elmie Adha Ismail berkata pihaknya menyasarkan 25 produk inovasi akan dapat dibangunkan menjelang akhir tahun ini selaras dengan penekanan RMK13 terhadap inovasi dan pemerkasaan industri hiliran.

Beliau berkata inovasi itu antara lain merangkumi makanan dan bukan makanan seperti cuka nanas, jeruk, minuman tenaga, palet makanan ternakan, benang serat nanas serta pelbagai produk daripada pinapeat (sisa kering nanas).

“Penghasilan produk hiliran nanas yang berinovasi adalah usaha dan inisiatif LPNM bersama penyelidik serta pengusaha dalam membangunkan produk berinovatif, bersifat unik, kreatif serta mampu berdaya saing,” katanya kepada Bernama sempena Hari Nanas Malaysia di sini hari ini.

Elmie Adha berkata LPNM melalui Bahagian Pembangunan Produk dan Bioteknologi juga sedang giat melaksanakan 18 kajian bersama agensi penyelidik hingga akhir RMK12 dengan kriteria kajian menekankan aspek kebolehpasaran, kesesuaian industri serta manfaat kepada pengusaha.

Beliau berkata penetapan kriteria itu bagi memastikan kajian yang dilaksana memberi impak signifikan kepada pengusaha nanas serta dapat diperkembang di peringkat rantaian industri bagi menjana pendapatan tinggi kepada pengusaha dan mereka yang terlibat.

Elmie Adha berkata usaha memperkembang produk hiliran nanas juga dibuat melalui program pemindahan teknologi oleh Bahagian Pembangunan Produk dan Bioteknologi yang membabitkan lebih 1,000 peserta di seluruh negara bagi tempoh 2021 hingga 2024. 

Beliau berkata inisiatif itu membuktikan keupayaan sektor pertanian dalam menghasilkan produk berinovasi tinggi dan berdaya saing sekali gus menjadikan nanas bukan lagi sekadar buah segar tetapi juga sumber ekonomi pelbagai guna.

Mengulas mengenai sambutan Hari Nanas Malaysia, Elmie Adha berkata program julung kali itu mempamerkan 78 produk hasilan nanas termasuk 27 makanan, 32 bukan makanan, 11 kesihatan dan lapan kosmetik serta penjagaan diri yang dihasilkan daripada bahagian buah, daun, batang serta sisa tanaman.

Beliau berkata slogan sambutan tahun ini iaitu 'Nanas Kita, Kebanggaan Negara' memberi penekanan kepada potensi tanaman itu sebagai komoditi pelbagai guna yang dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi luar bandar.

Elmie Adha berkata pendekatan 'tiga kali tuaian' iaitu tuaian buah, benih dan sisa menjadi strategi utama dalam menjana pendapatan lumayan kepada pekebun serta pengusaha nanas di samping memaksimumkan penggunaan hasil ladang.

“Kita galakkan penghasilan produk seperti produk daripada enzim bromelain serta serat daun nanas untuk tekstil, baja organik, makanan kesihatan dan produk penjagaan diri.

"Semua ini boleh dijana melalui tuaian sisa yang dahulu dianggap buangan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan