KUALA LUMPUR, 28 Jun (Bernama) -- Seorang anggota polis maut selepas motosikal yang ditunggang terbabas semasa menjalankan penugasan Operasi Pencegahan Samseng Jalanan di ibu negara awal pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur (JSPT KL) ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata mangsa L/Kpl Muhammad Amirul Aiman Muhammad Othman, 24, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Kuching arah Jalan Tun Razak menghala ke Selayang pada 4.30 pagi.
“Siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggang mangsa hilang kawalan di laluan berselekoh sebelum melanggar besi penghadang jalan dan terjatuh ke bawah tebing.
“Seorang lagi anggota yang menunggang motosikal di belakang mangsa turut terbabas dan mengalami kecederaan ringan. Beliau kini menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata ketika kejadian, kedua-dua anggota terbabit sedang melaksanakan tugasan pemantauan dan pencegahan aktiviti samseng jalanan di sekitar kawasan Kuala Lumpur.
Mohd Zamzuri berkata Allahyarham Muhammad Amirul Aiman berkhidmat di JSPT KL sejak menamatkan latihan dan bertugas di Bahagian Risikan/Operasi selama lebih setahun.
“Allahyarham meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak. Jenazah akan dikebumikan di kampung halamannya di Ajil, Terengganu, hari ini,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial