PUTRAJAYA, 27 Jun (Bernama) -- Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan diberi tanggungjawab menjalankan tugas dan fungsi Menteri Ekonomi berkuat kuasa serta-merta.
Ketua Setiausaha Negara yang juga Setiausaha Jemaah Menteri Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata perkara itu dipersetujui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dimaklumkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 25 Jun lepas.
"Tugas utama Amir Hamzah adalah untuk mengolah dan merombak semula intipati naskhah Rancangan Malaysia ke-13 yang akan dibentangkan di Parlimen pada 31 Julai 2025," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Ia termasuk mengambil kira maklumat tambahan yang dikemukakan oleh kementerian-kementerian serta pandangan dan ulasan yang diberikan oleh Jemaah Menteri.
Pada 28 Mei lepas, Datuk Seri Rafizi Ramli dalam satu kenyataan mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Ekonomi berkuat kuasa 17 Jun 2025, selepas gagal mempertahankan jawatannya sebagai Timbalan Presiden PKR.
Rafizi dalam kenyataan sama berkata kekalahannya dalam pemilihan itu bermakna beliau tidak lagi mempunyai mandat daripada parti untuk menterjemahkan agenda rakyat yang digagaskan PKR menjadi program kerajaan.
Perdana Menteri pada hari sama mengesahkan menerima surat permohonan cuti bermula dari tarikh sama dan pengunduran Rafizi sebagai anggota Kabinet.
Sementara itu, Amir Hamzah dalam kenyataan merakamkan penghargaan terhadap kepercayaan Perdana Menteri yang memberi mandat kepada beliau untuk membantu tugasan di Kementerian Ekonomi
Beliau berkata antara tumpuan utama ketika ini adalah untuk memuktamadkan naskhah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13).
"Banyak maklum balas diterima daripada menteri-menteri yang memerlukan rombakan semula inti pati RMK-13 supaya memaparkan dengan terbaik dasar keutamaan Kerajaan MADANI serta meneruskan momentum pembaharuan agenda Ekonomi MADANI," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial