WILAYAH - SELATAN > BERITA

Pegawai Rancangan Tanah Didakwa Tipu Urusan Baik Pulih Pusat Pengumpulan Getah

25/06/2025 02:45 PM

SEREMBAN, 25 Jun (Bernama) -- Seorang Pegawai Rancangan Tanah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menipu seorang individu berkaitan kerja baik pulih pusat pengumpulan getah, dua tahun lepas.

Eddy Khirin Bunaim, 45, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menipu seorang lelaki berusia 68 tahun dengan mendorong warga emas itu menurunkan tandatangan pada cek milik Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Rancangan (JKKR) Felda Lui Selatan 1 bagi tujuan pembayaran berjumlah RM12,000 kepada seorang pembekal menerusi akaun bank.

Pembayaran itu didakwa sebagai pendahuluan bagi kerja-kerja membaik pulih Pusat Pengumpulan Getah Felda Lui Selatan 1 dan 2, sedangkan pembekal tersebut bukan pihak yang dilantik untuk menjalankan kerja berkenaan. Mangsa tidak akan menandatangani cek tersebut sekiranya tidak diperdaya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah cawangan bank di Bahau pada 16 Mac 2023 dan tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun dan maksimum 10 tahun serta sebat, selain boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Zainab Yahaya menawarkan jaminan RM15,000 dengan syarat tambahan melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat setiap bulan sehingga perbicaraan selesai.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam kemudian meminta jaminan minimum dikenakan atas alasan perlu menyara empat anak yang masih bersekolah selain sedang menyambung pengajian.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin warganegara dan menetapkan syarat tambahan seperti dicadangkan. Mahkamah turut memaklumkan bahawa wang jaminan tidak akan dikembalikan sekiranya syarat itu gagal dipatuhi.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 14 Ogos ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan