WILAYAH - SELATAN > BERITA

MBINS Dan SD Guthrie Meterai Usaha Sama Bangun Zon Bebas Port Dickson

24/06/2025 03:29 PM

SEREMBAN, 24 Jun (Bernama) -- SD Guthrie Bhd dan Menteri Besar Negeri Sembilan Permerbadanan (MBINS) akan menjalin kerjasama membangunkan Zon Bebas Port Dickson (PDFZ) di Pasir Panjang, Port Dickson dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) melebihi RM1 bilion.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata zon perindustrian itu akan terletak di Ladang Sengkang milik SD Guthrie (sebelum ini dikenali sebagai Sime Darby Plantation Bhd) berhadapan tapak Pelabuhan Kontena Pintar Kecerdasan Buatan (AI) Midport, Port Dickson, dan kerja pembinaan infrastuktur dijangka bermula pada suku kedua 2026. 

Menurutnya, PDFZ yang melibatkan kawasan seluas 242.8 hektar (600 ekar) itu akan berperanan sebagai pemangkin utama dan hab industri berteknologi tinggi yang akan menyokong pertumbuhan Midport.

Aminuddin berkata pembangunan zon perindustrian itu merangkumi pembinaan kemudahan seperti kawasan pergudangan, kilang berteknologi tinggi dan infrastruktur sokongan lain, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa berkaitan.

“Usaha ini berpotensi merancakkan lagi sektor perindustrian negeri serta memperkukuhkan ekosistem  ekonomi dan pelaburan di rantau ini. Integrasi antara Midport dan PDFZ akan memaksimumkan sinergi dalam operasi logistik, pemprosesan ringan dan sektor pembuatan.

“Ini akan meletakkan Midport sebagai pelabuhan pilihan utama dengan sistem rantaian bekalan yang lancar untuk industri berkaitan. Kewujudan PDFZ juga berperanan menarik pelaburan strategik daripada syarikat industri utama dunia serta mengoptimumkan penggunaan pengangkutan kontena dan perkhidmatan maritim,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis menandatangani perjanjian jual beli tanah dan Memorandum Persefahaman (MoU) antara MBINS dan SD Guthrie, di sini ,hari ini. 

Turut hadir Pengarah Urusan Kumpulan SD Guthrie, Datuk Mohamad Helmy Othman Basha.

Aminuddin berkata mengikut perancangan, pembinaan fizikal Midport akan dimulakan dalam masa terdekat dan dijangka mengambil tempoh beberapa tahun sebelum beroperasi sepenuhnya.

“Sasarannya untuk pelabuhan ini beroperasi seawal tahun 2027, dan fasa pertama PDFZ turut siap menjelang waktu itu bagi menyokong operasi pelabuhan,” katanya.

Beliau berkata, menjelang 2035, Port Dickson bakal muncul sebagai sebuah Bandar Pelabuhan Baharu yang terkenal di peringkat domestik dan antarabangsa.

Aminuddin berkata kerajaan negeri menyasarkan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) 8.1 peratus setahun sehingga tahun 2045 dan di bawah kerangka Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV 2.0), projek Midport dan PDFZ merupakan antara pemacu strategik ke arah mencapai sasaran tersebut.

Sementara itu, Mohamad Helmy berkata projek PDFZ merupakan satu inisiatif strategik dan berwawasan selari dengan aspirasi pembangunan negara dan agenda kemajuan mampan serta dapat memperkukuhkan fungsi Midport melalui penyediaan infrastruktur perindustrian.

Beliau berkata kerjasama dengan MBINS ini memperkukuh lagi kehadiran SD Guthrie dalam landskap pembangunan perindustrian di Negeri Sembilan.

“Pendekatan menggabungkan pengkomersialan tanah bersama jalinan kerjasama strategik, membolehkan kami merealisasikan nilai aset secara serta-merta, di samping mewujudkan potensi aliran pendapatan berulang yang baharu untuk syarikat.

“Ini adalah satu model yang boleh dikembangkan dan kami berhasrat untuk menerapkannya dalam usaha memanfaatkan simpanan tanah strategik kami yang berpotensi tinggi di seluruh negara. Kami juga berbangga menyumbang kepada usaha pembangunan ini yang dijangka akan memberi pelbagai manfaat sosio-ekonomi kepada rakyat,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan