IPOH, 21 Jun (Bernama) -- Polis sedang memburu tiga lelaki dipercayai terlibat dalam kejadian samun bersenjata di sebuah premis hiburan di Jalan Changkat Jong, Teluk Intan pada 15 Jun lepas.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Dr Bakri Zainal Abidin berkata identiti seorang daripada mereka telah dikenal pasti iaitu lelaki tempatan berusia 37 tahun yang mempunyai rekod jenayah lampau.
“Suspek ini telah disenaraikan sebagai orang dikehendaki polis.
“Unit forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak juga telah melawat tempat kejadian dan menemukan beberapa bahan bukti termasuk kesan darah, dua cap jari dan serpihan kaca, selain rakaman kamera litar tertutup (CCTV),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, tular video berdurasi 30 saat menerusi laman media sosial memaparkan tiga lelaki bertopeng keluar dari sebuah kereta jenis Honda sambil memegang dan menghayun parang ke arah individu di pusat hiburan terbabit.
Bakri berkata laporan polis berkaitan kejadian itu telah dibuat pada 1.02 pagi, 15 Jun di Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak oleh seorang pengawal keselamatan berusia 42 tahun yang bekerja di premis berkenaan.
Pada masa sama, Bakri berkata ketiga-tiga suspek telah menyerbu masuk dan memecahkan barangan dalam premis berkenaan selain mengambil sebuah telefon bimbit jenis iPhone 14 Pro milik pekerja serta wang tunai berjumlah RM2,000 dari kaunter premis.
Suspek katanya turut mencederakan dua pelanggan menggunakan parang selain memecahkan cermin empat kenderaan yang berada di sekitar premis itu.
Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan menggunakan senjata dan Seksyen 427 kanun sama kerana khianat terhadap harta benda awam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial