Daripada Arul Rajoo Durar Raj
ST. PETERSBURG (Rusia), 20 Jun (Bernama) -- Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) telah dipilih semula sebagai Ahli Lembaga Eksekutif Pertubuhan Agensi-Agensi Berita Asia Pasifik (OANA).
Keputusan itu dicapai semasa Perhimpunan Agung OANA ke-19 yang berlangsung di sini, anjuran agensi berita TASS dari Rusia.
Lebih 100 wakil agensi berita dari lebih 30 negara menghadiri perhimpunan itu dan acara berkaitan.
Bernama diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj.
Agensi berita milik Kerajaan Rusia, TASS, telah dipilih sebagai Pengerusi OANA bagi tempoh tiga tahun akan datang, menggantikan IRNA (Iran).
Ketua Pengarah TASS Andrey Kondrashov dilantik sebagai Presiden OANA manakala timbalannya, Mikhail Gusman, dilantik sebagai Setiausaha Agung.
Presiden agensi berita Xinhua dari China, Fu Hua; Ketua Pegawai Eksekutif (KPE) IRNA Hossein Jaberi-Ansari, KPE Yonhap (Korea Selatan) Hwang Dae Il, KPE Anadolu (Turkiye) Serdar Karagoz dan Pengerusi Azertac (Azerbaijan) Vugar Aliyev pula akan berkhidmat sebagai Naib Presiden OANA.
Lembaga Eksekutif baharu turut dianggotai ANTARA, Agensi Berita Qatar, Agensi Berita Bahrain, Agensi Berita Vietnam dan Kyodo dari Jepun.
Azertac akan menjadi tuan rumah Perhimpunan Agung OANA yang seterusnya di Azerbaijan pada 2028.
OANA ditubuhkan pada 1961 atas inisiatif Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi memudahkan pertukaran berita secara langsung dan bebas dalam kalangan agensi berita di rantau yang merangkumi lebih separuh daripada jumlah penduduk dunia.
Pada masa ini, OANA mempunyai 41 agensi berita selaku ahli dari 33 negara, dengan 13 agensi berkhidmat dalam Lembaga Eksekutif.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial