WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Jabatan Kehakiman Syariah Perak Bangun Modul eKSPerk, Mudahkan Orang Awam Daftar Kes

20/06/2025 08:56 PM

IPOH, 20 Jun (Bernama) -- Jabatan Kehakiman Syariah Perak membangunkan laman web Modul Awam Elektronik Kehakiman Syariah Perak (eKSPerk) sebagai pemudah cara penyediaan borang pendaftaran bagi kes-kes terpilih di mahkamah syariah di negeri itu.

Ketua Hakim Syarie Perak Datuk Ab Rahman Thobroni Mohd Mansor berkata eKSPerk boleh dilayari melalui eksperk.perak.gov.my mulai 10 Jun lepas.

Beliau berkata kes terpilih yang boleh menggunakan eKSPerk ialah permohonan perceraian persetujuan, tuntutan pengesahan lafaz cerai, permohonan nikah bawah umur serta permohonan wali hakim.

"Ia (eKSPerk) diwujudkan untuk membantu orang awam dalam urusan pendaftaran kes bagi mereka yang tidak menggunakan khidmat peguam. Mereka akan menghadapi masalah penyediaan dokumentasi termasuklah borang-borang yang dikehendaki mengikut ketetapan sedia ada.

"Jadi dengan adanya eKSPerk, ia memudahkan orang awam memasukkan pelbagai maklumat dan fakta kes yang diperlukan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Apresiasi Kecemerlangan 2024 Jabatan Kehakiman Syariah Perak di sini hari ini.

Ab Rahman Thobroni berkata pada peringkat permulaan, orang awam yang mengisi borang berkenaan perlu mencetaknya terlebih dahulu sebelum dikemukakan kepada pihak mahkamah.

"Kami sedang berusaha menaik taraf laman web itu supaya dokumen yang diisi di dalam eKSPerk akan terus dipaparkan pada sistem e-syariah," katanya. 

Beliau berkata bagaimanapun borang pendaftaran kes yang disediakan oleh pihak ketiga atau persendirian masih diterima daftar selagi dokumen itu mengikut format, susunan kandungan dan laras bahasa yang telah ditetapkan.

"Setakat ini hanya Jabatan Kehakiman Syariah Perak sahaja yang melaksanakan modul sebegini dan mungkin ia akan diikuti oleh jabatan kehakiman syariah negeri lain," katanya.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan