WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Ketua Polis Negara Mahu Manfaat Teknologi AI Untuk Tangani Jenayah

20/06/2025 08:48 PM

KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) -- Datuk Seri Mohd Khalid Ismail yang baharu dilantik sebagai Ketua Polis Negara (KPN) berazam untuk mempertingkatkan keupayaan dan kredibiliti pasukan, terutama dalam menangani isu jenayah rentas sempadan dengan memanfaatkan penggunaan teknologi terkini.

Beliau berharap langkah itu akan dapat membawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke arah yang lebih cemerlang, selari dengan perubahan pemodenan pasukan itu, terutama yang melibatkan teknologi terkini termasuk kecerdasan buatan (AI).

“Untuk kita melaksanakan tugas kepolisan pada masa yang akan datang, pelaksanaan dan penggunaan AI menjadi isu yang saya rasa perlu diketengahkan, supaya pasukan kita lebih maju pada masa yang akan datang dan dapat menangani apa juga ancaman,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas berakhirnya majlis Paluan Berundur KPN di Pulapol Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu, Mohd Khalid dilantik sebagai KPN ke-15 berkuat kuasa hari ini bagi menggantikan Razarudin, pada majlis Serah Terima Tugas, disaksikan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan turut dihadiri Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil serta pegawai kanan PDRM.

Sementara itu, Mohd Khalid menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim kerana memperkenankan pelantikannya sebagai KPN ke-15, dan mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana memberi kepercayaan kepadanya untuk memegang tanggungjawab itu.

“Tidak lupa juga saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Menteri Dalam Negeri yang sentiasa memimpin pasukan PDRM menuju ke arah yang lebih cemerlang.

“Sekalung tahniah dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga juga kepada KPN ke-14,” katanya.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan