WILAYAH - UTARA > BERITA

Mohammad Azlin Sadari Timbalan Ketua Polis Perak Baharu

19/06/2025 02:58 PM

IPOH, 19 Jun (Bernama) -- Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman SAC Mohammad Azlin Sadari dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Perak yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Beliau yang berusia 52 tahun dan berasal dari Alor Pongsu, Perak, menggantikan DCP Zulkafli Sariaat yang bersara wajib pada 23 Jun ini.

Majlis serah terima tugas itu disaksikan oleh Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin dan turut dihadiri pegawai kanan polis serta warga Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di Mes Pegawai Kanan Polis Perak di sini hari ini.

Pelantikan Mohammad Azlin itu dilihat sebagai langkah strategik dalam memperkukuh kepimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejajar komitmen berterusan pasukan itu memastikan keselamatan awam terus terpelihara, khususnya di Perak.

Dalam ucapannya, Noor Hisam menzahirkan penghargaan kepada Zulkafli terhadap khidmat cemerlang beliau sepanjang memikul amanah dan tanggungjawab sebagai Timbalan Ketua Polis Perak sejak 26 Julai tahun lepas.

Noor Hisam berkata beliau juga yakin dan komited terhadap kemampuan serta pengalaman luas yang dimiliki oleh Mohammad Azlin untuk meneruskan kesinambungan kecemerlangan pasukan polis Perak dalam pelbagai aspek.

“Saya merakamkan ucapan penghargaan kepada Tuan Zulkafli atas pengalaman dan pengorbanan lebih 40 tahun dalam bidang kepolisian ini termasuk sebagai Timbalan Ketua Polis Perak.

“Selamat datang ke Perak diucapkan kepada Tuan Mohammad Azlin, Perak. Selaku anak jati (Mohammad Azlin) saya berharap pengalaman luas yang ada digunakan sebaiknya untuk membantu sekali gus berbakti dengan penuh amanah untuk negeri serta rakyat,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan