WILAYAH - SARAWAK > BERITA

JP Global Engineering Perkenal Sistem Pertanian Pintar Rangsang Inovasi Pertanian

19/06/2025 10:15 AM

KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) -- JP Global Engineering mengorak langkah ke hadapan dengan memperkenalkan sistem pertanian pintarnya tersendiri, iaitu JPloT yang menggabungkan pemantauan masa nyata, analitik data, dan kecerdasan berasaskan awan untuk menyokong petani moden di Malaysia dan luar negara.

Sistem JPloT menggunakan sensor Internet Benda (IoT) untuk mengumpul data secara langsung berkaitan pemboleh ubah penting seperti kelembapan tanah, suhu, kelembapan udara, tahap pH, dan intensiti cahaya.

Maklumat itu dihantar ke platform awan yang selamat dan dianalisis bagi menghasilkan cadangan tindakan berkaitan pengairan, pembekalan nutrien, dan penjadualan tanaman, seterusnya membantu petani mengoptimumkan pertumbuhan tanaman.

Direka supaya serasi dengan persekitaran ladang yang pelbagai, JPloT dilengkapi papan pemuka yang mesra pengguna serta menawarkan storan awan seumur hidup yang selamat. Ia membolehkan petani mengakses data sejarah, menjejak anomali dan membuat keputusan berasaskan data sepanjang kitaran tanaman.

Pengarah JP Global Engineering Ts. Jegan Perumal berkata sistem itu membantu meningkatkan konsistensi hasil dan kualiti tanaman dengan mengekalkan keadaan optimum dan mengurangkan kerugian akibat tekanan alam sekitar atau salah urus.

“JPloT membantu petani meningkatkan konsistensi hasil dan kualiti tanaman di samping mengekalkan optimum dan mengurangkan risiko kerugian akibat masalah alam sekitar atau salah urus. Ini secara langsung menyumbang kepada matlamat negara untuk menghasilkan makanan yang selamat, berkhasiat, dan mudah didapati,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain meningkatkan produktiviti, JPloT juga membantu menangani isu kekurangan tenaga kerja dengan mengautomasi rutin tugasan, memastikan kestabilan tanaman meskipun cuaca tidak menentu, dan mengurangkan pembaziran makanan sekali gus membolehkan sebarang masalah dikesan lebih awal seperti lebihan air serta penyakit.

Sistem berkenaan turut mendapat perhatian di peringkat antarabangsa, terutamanya menerusi inisiatif perintis bersama Ichigo Lab dari Jepun. Kerjasama strategik ini memperlihatkan keupayaan JPloT dalam persekitaran berteknologi tinggi dan menawarkan alternatif yang lebih menjimatkan kos berbanding penyelesaian sedia ada di Jepun.

Antara dorongan utama di sebalik kerjasama itu, adalah perbezaan kitaran pertanian. Di Jepun, penanaman strawberi lazimnya hanya melibatkan satu musim tuaian setahun, manakala iklim tropika Malaysia membolehkan hingga empat kitaran tuaian.

Ia sekali gus merintis peluang kepada Ichigo Lab untuk terus berkembang ke Malaysia dan meningkatkan produktiviti dengan memanfaatkan cerapan masa nyata dan ciri adaptif JPloT.

JP Global juga menyokong proses pengembangan menerusi panduan dalam pemerolehan tanah, pematuhan peraturan, dan libat urus dengan pihak berkepentingan kerajaan yang berkaitan.

Walaupun pelaksanaan sepenuhnya belum bermula, syarikat sedang menyelaraskan projek dengan bajet pelanggan dan bersedia untuk menyesuaikan sistem JPloT supaya sesuai dengan infrastruktur, aspek bahasa dan amalan pertanian Jepun.

“Kami kekal komited sebagai rakan pertumbuhan, menyediakan sokongan menyeluruh bagi memastikan peralihan yang lancar dan membantu Ichigo Lab memanfaatkan sepenuhnya kelebihan pertanian sepanjang tahun di Malaysia,” kata Ts. Jegan.

JP Global menjangkakan IoT bakal menjadi tonggak utama dalam sektor pertanian untuk tempoh lima hingga 10 tahun akan datang di samping kecerdasan buatan mempertingkat ketepatan ramalan, pembuatan keputusan, dan kecekapan sumber.

Namun, Ts. Jegan berkata teknologi semata-mata tidak memadai untuk memastikan penerapan pertanian pintar secara meluas di Malaysia.

“Iklim Malaysia satu anugerah, tetapi untuk benar-benar menggunakan sepenuhnya potensi ini, kita perlu memadankannya dengan penyelesaian yang berupaya menghadapi cabaran masa depan dan disesuaikan dengan situasi tempatan,” katanya sambil menambah masa depan pertanian bergantung kepada sejauh mana mampu mengimbangi data, alam semula jadi, dan kepekaan manusia dalam membina sistem yang produktif, berdaya tahan, dan mampan.

JP Global, antara beberapa syarikat Malaysia yang mengambil bahagian dalam Ekspo 2025 Osaka sempena minggu Kementerian Pertanian dan Keselamatan Makanan, menyaksikan Malaysia menampilkan kesungguhannya dalam memperluas pertanian pintar dan memastikan pertumbuhan yang inklusif.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan