KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) -- Seramai 28 anggota delegasi Suruhanjaya Tinggi Singapura di Malaysia hari ini mengadakan kunjungan hormat ke ibu pejabat Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di sini, sebagai usaha memperkukuh hubungan dua hala dalam bidang media dan komunikasi.
Delegasi berkenaan diketuai Ketua Komunikasi Kerajaan Singapura Foo Kok Jwee, dan disambut oleh Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Bernama Azlina Aziz, bersama barisan pengurusan kanan agensi berita nasional itu.
Sempena lawatan tersebut, Bernama mengadakan sesi perbincangan bersama delegasi di bawah Program Komunikasi dan Penglibatan Lanjutan Ketiga (ACE) Singapura bagi memperkenalkan peranannya sebagai agensi berita rasmi negara serta meneroka peluang kerjasama strategik.
Antara yang dibincangkan termasuklah pendekatan Bernama dalam membuat liputan Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang berlangsung pada 26 dan 27 Mei lepas bersempena peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini.
Turut hadir dalam sesi tersebut ialah Editor Eksekutif Perkhidmatan Berita Bernama Mohd Haikal Mohd Isa, Timbalan Editor Eksekutif Perkhidmatan Berita Antarabangsa Massita Ahmad, dan Timbalan Editor Eksekutif Perkhidmatan Berita Ekonomi Nor Baizura Basri.
Turut menyertai sesi itu ialah Pengurus Kanan Bahagian Perhubungan Media dan Acara Bernama Zaria Mohd Nasri, Editor MyCheck Malaysia merangkap Unit Data Journalism Sakina Mohamed, Editor Digital Media Noor Soraya Mohammad Jamal, serta Pengurus Berita Bernama Radio Mohd Hirzee Mohamad.
Dalam ucapannya, Azlina menyambut baik kunjungan tersebut dan menyatakan komitmen Bernama untuk terus memperkukuh jaringan kerjasama serantau, khususnya dengan entiti media dan diplomatik negara jiran.
Delegasi kemudiannya dibawa melawat Jabatan Pengarang, Bernama TV, Bahagian Digital Media, dan Bernama Radio serta diberi taklimat mengenai operasi harian Bernama sebagai penyedia kandungan berita untuk pelbagai agensi dan media tempatan serta antarabangsa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial