KUALA LUMPUR, 17 Jun (Bernama) -- Eastern Pacific Industrial Corporation Bhd (EPIC) telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Ground Team Red Sdn Bhd (GTR) bagi meneroka bekalan dan pemasangan panel solar di terminal kargo GTR serta gudang pusat penyelenggaraan peralatan perkhidmatan darat.
Dalam satu kenyataan bersama hari ini, kedua-dua pihak berkata perkongsian itu mencerminkan komitmen kedua-dua syarikat untuk memajukan agenda tenaga hijau di Malaysia.
“Mengikut perjanjian itu, EPIC menerusi anak syarikatnya, Eastern Pacific Properties Sdn Bhd (EPPSB) akan bertindak sebagai penyedia penyelesaian utama bagi infrastruktur solar, manakala GTR akan menilai integrasi sistem tenaga solar untuk menjana kemudahan operasi utamanya,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC (GCEO) Muhtar Suhaili berkata perkongsian itu bukan sekadar kerjasama perniagaan, tetapi komitmen bersama bagi mempercepatkan penggunaan tenaga boleh baharu dalam sektor sokongan penerbangan.
“Menerusi inisiatif ini, kami menyasarkan untuk menyokong objektif kemampanan GTR dengan memanfaatkan kepakaran EPIC dalam menyampaikan sistem panel solar dan penyelesaian tenaga baharu bagi kemudahan komersial dan perindustrian melalui anak syarikat kami, EPPSB.
“Kami berharap dapat bekerjasama rapat dengan GTR untuk merealisasikan hasil yang praktikal dan boleh diukur dalam penggunaan tenaga bersih, selaras dengan aspirasi yang ditetapkan di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) Malaysia,” katanya.
Sementara itu, GCEO GTR Musdalifa Abdullah menekankan bahawa kerjasama dengan EPIC menandakan satu langkah penting dalam usaha berterusannya ke arah operasi darat yang neutral karbon.
“Dengan mengintegrasikan tenaga solar dalam kemudahan kargo dan penyelenggaraan kami, kami dapat mengukuhkan komitmen kami terhadap penerbangan yang mampan, dan kami berharap untuk bekerjasama dengan EPIC untuk menyampaikan kemajuan sebenar yang boleh diukur selaras dengan matlamat peralihan tenaga Malaysia,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial