WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kerajaan Peruntuk RM300 Juta Laksana Dua Skim Untuk Modenisasi Perikanan - Ahmad Zahid

16/06/2025 03:11 PM

PUTRAJAYA, 16 Jun (Bernama) -- Komitmen kerajaan dalam memastikan kelangsungan sumber laut negara, kebajikan nelayan dan integriti sistem subsidi terus dipelihara, diperkukuhkan lagi menerusi peruntukan RM300 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) untuk perikanan lestari, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata di bawah peruntukan itu, kerajaan bersetuju melaksanakan dua skim utama iaitu Skim Pembiayaan Pemacu Perikanan Tangkapan dan Skim Geran Padanan untuk Penggantian Pukat Tunda dan Bot.

"Setiap skim ini diperuntukan RM150 juta, dengan Skim Pembiayaan Pemacu Perikanan Tangkapan akan memberi tumpuan kepada menaik taraf vesel dan automasi industri perikanan.

"Skim Geran Padanan untuk Penggantian Pukat Tunda dan Bot pula bertujuan menggalakkan penggunaan kaedah tangkapan yang lebih lestari dan mesra alam," katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Pembangunan dan Pemerkasaan Nelayan (JPT-PPN), hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi JPT-PPN berkata mesyuarat juga bersetuju untuk melaksanakan Projek Transformasi Ekonomi Nelayan Melalui Akuakultur (TEMAN-AKUA): Akuakultur untuk Nelayan B40, yang menyasarkan nelayan tidak berlesen di Melaka, Negeri Sembilan dan Perlis untuk beralih ke industri akuakultur.

Beliau berkata projek itu akan dilaksanakan dalam empat fasa, melibatkan ternakan kerang dan kupang, dengan potensi pulangan RM50 juta setahun.

"Kos keseluruhan RM5 juta bagi tempoh 2025 hingga 2029 akan disokong melalui Program Sistem Penyampaian dan Khidmat Sokongan (SPeKS) Akuakultur," katanya.

Ahmad Zahid berkata mesyuarat turut dimaklumkan Kolej Perikanan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Lumut, Perak, akan melatih tekong dan nelayan tempatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada kru asing, di bawah Program Latihan dan Geran Keusahawanan Nelayan Tempatan.

Beliau berkata program itu termasuk Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), latihan jangka pendek serta sokongan geran keusahawanan sehingga RM200,000, dan sebagai permulaan Projek Rintis 2025 akan melibatkan 50 peserta.

Ahmad Zahid berkata mesyuarat turut membincangkan mengenai Ops Tiris 1.0 hingga 3.0 yang telah berjaya membanteras penyelewengan subsidi diesel dengan 1,600 tangkapan dilakukan melibatkan nilai lebih RM400 juta.

Beliau berkata pelaksanaan penyasaran subsidi bermula 10 Jun 2024 di Semenanjung memastikan nelayan masih menerima subsidi RM1.65 seliter melalui Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS), manakala penguatkuasaan di Sabah, Sarawak dan Labuan diperhebatkan.

"Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan komited untuk memperkenalkan inisiatif-inisiatif baharu bagi mengekang isu ketirisan diesel dalam kalangan nelayan.

"Justeru saya menegaskan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi terhadap ketirisan dan penyelewengan, sebaliknya akan terus memperkukuhkan dasar secara bersasar, memperkasakan kapasiti nelayan, dan memastikan keberlangsungan industri perikanan sebagai satu tunggak keterjaminan makanan negara," katanya.

Ahmad Zahdi berkata menerusi mesyuarat itu juga, turut dibentangkan Hasil Sesi Libat Urus Komuniti Nelayan (SLU) sejak November 2024 dan 37 isu utama nelayan telah dikenal pasti.

Beliau berkata 46 peratus isu telah diselesaikan melalui tindakan rentas kementerian, sekali gus membuktikan keberkesanan pendekatan kerajaan yang inklusif dan responsif terhadap suara komuniti nelayan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan