WILAYAH - UTARA > BERITA

PMR 2025 Perak: FAMA Tawar 900 Bakul Agro MADANI, Harga RM15

14/06/2025 03:20 PM

LUMUT, 14 Jun (Bernama) -- Sebanyak 900 bakul Agro MADANI dengan harga RM15 setiap satu menanti pengunjung sepanjang tiga hari Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Perak yang akan berakhir esok, di Lumut Waterfront. 

Pegawai Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Manjung Mohamad Haspizul Abu Hassan berkata sepanjang program, sebanyak 300 bakul mengandungi seekor ayam segar, kubis, rempah dan bawang disediakan setiap hari. 

“Bakul Agro MADANI ini kita anggarkan jualan sebanyak 300 bakul sehari dan Alhamdulillah, mendapat sambutan hebat daripada pengunjung sehingga stok habis awal semalam.

“Empat item yang terdapat dalam bakul ini kalau dihitung berharga lebih daripada RM20, jadi kita buat pemotongan harga sebanyak RM5 khas kepada pelanggan kita sepanjang program PMR 2025 Perak,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau berkata pihak FAMA juga ada membawa hasil petanian dari sekitar Perak antaranya buah mangga lekir chokanan yang khusus ditanam di daerah Manjung, Perak, serta limau bali Tambun.

“Buah mangga chokanan banyak ditanam di kawasan Lekir, daerah Manjung ini dengan keunikan tersendiri terutama isinya yang sangat manis walaupun rupa di luar dilihat tidak menarik.

“Harga chokanan hari ini kita jual RM5 satu kilogram (kg) dan kalau beli tiga kg kita bagi promosi RM12. Kebiasaannya kalau di pasaran ada RM7 hingga RM8 sekilogram,” katanya.

PMR 2025 Perak di Lumut Waterfront berlangsung dari 9 pagi hingga 10 malam pada Jumaat dan Sabtu, manakala pada Ahad program dijadualkan berakhir 6 petang. Reruai perkhidmatan kerajaan pula akan beroperasi setiap hari hingga 6 petang.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka merasmikan penutupan PMR 2025 Perak pada Ahad.

Perak ialah lokasi kedua penganjuran PMR berskala besar, hasil kerjasama strategik antara Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Jabatan Perdana Menteri selaku sekretariat induk, dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebagai kementerian peneraju.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan