WILAYAH - SABAH > BERITA

1,298 Sekolah Di Sabah Terlibat Kempen Internet Selamat

13/06/2025 09:21 PM

TAWAU, 13 Jun (Bernama) -- Sebanyak 1,298 buah sekolah rendah dan menengah di Sabah akan terlibat dalam Kempen Internet Selamat (KIS), program inisiatif Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata kempen yang dilaksanakan secara berfasa itu akan memberi tumpuan kepada aspek keselamatan dalam talian melalui pendidikan kepada pelajar.

“Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Holy Trinity menjadi sekolah menengah pertama di Tawau bagi pelaksanaan KIS yang menggunakan modul untuk pelajar sekolah menengah berumur 13 hingga 17 tahun, dengan penglibatan 290 pelajar.

“Objektif modul ini adalah untuk memberikan pendedahan kepada pelajar mengenai keselamatan internet, termasuk risiko yang dihadapi, tanggungjawab terhadap diri sendiri dan pengguna internet yang lain serta kesan jangka panjang penggunaan internet,’ katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

 Teo yang kini dalam rangka lawatan kerja ke Sabah, hadir pada majlis KIS di SMK Holy Trinity, Tawau.

Melalui modul itu, Teo berharap pelajar dapat membezakan antara maklumat sahih dengan palsu di internet dengan mengenal pasti ciri-ciri fakta dan auta, selain dapat menilai risiko pendedahan maklumat peribadi secara terbuka dalam talian.

“Pelajar juga diharap dapat mengenal pasti tanda-tanda pengantunan seksual dalam talian dan lebih bersedia dengan strategi perlindungan kendiri,” katanya.

Beliau berkata melalui pendedahan kempen itu, pelajar dapat mengaplikasikan kemahiran berfikir secara kritikal dan berempati untuk membuat keputusan yang selamat dan bertanggungjawab ketika berinteraksi di internet.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan