WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Nahas FFU: Pemilik Syarikat Akan Diheret Ke Mahkamah - Loke

13/06/2025 04:29 PM

SHAH ALAM, 13 Jun (Bernama) -- Pemilik syarikat lori yang terlibat dalam nahas tragis membabitkan kenderaan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan bulan lepas akan diheret ke mahkamah.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata tindakan itu akan dilaksanakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Yang pertamanya lesen pengendali (syarikat lori) telah pun dibatalkan dan keduanya kita akan heret pemilik syarikat ke mahkamah (menerusi) JPJ,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Pelaksanaan Penggunaan Speed Limitation Device (SLD) bagi kenderaan perdagangan di Scania (Malaysia) Sdn Bhd di sini, hari ini.

Di samping itu, Loke berkata keluarga mangsa juga boleh mengambil tindakan sivil terhadap syarikat berkenaan untuk mendapatkan ganti rugi dan pampasan selayaknya.

Dalam nahas pada 8.54 pagi 13 Mei lepas, sembilan anggota FRU terkorban manakala sembilan lagi cedera selepas lori FRU yang dinaiki mereka bertembung dengan lori tipper berkenaan yang dipercayai memasuki laluan bertentangan.

Dalam pada itu, Loke berkata keputusan untuk mengembalikan kuasa mengawal selia pengangkutan pelancongan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) adalah tertakluk kepada kelulusan Jemaah Menteri. 

Menurut Loke beliau tidak mempunyai masalah sekiranya kawal selia kuasa itu khususnya membabitkan bas persiaran diserahkan kepada MOTAC dan jelasnya hal tersebut telah dibangkitkan sejak dua tahun lepas.

“MOTAC sebelum ini telah membuat kertas Memorandum Jemaah Menteri (MJM) dan diedarkan kepada Kementerian Pengangkutan (MOT) sebelum insiden (kemalangan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berlaku. 

“Saya nak tegaskan perkara ini bukan sebabnya oleh insiden ini. Saya dah katakan kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing, saya tiada masalah kalau kamu boleh jamin bas persiaran selamat. Saya senang hati untuk serahkan semula, namun itu tertakluk kepada kuasa Jemaah Menteri,” katanya.

Pada Rabu lepas, MOTAC menerusi kenyataan menggesa supaya kuasa pengawalseliaan pengangkutan pelancongan dikembalikan kepada kementerian itu susulan nahas bas di Gerik, Perak pada Isnin lepas yang meragut 15 nyawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Dalam kenyataan hari ini, MOTAC menyifatkan insiden berkenaan bukan sekadar tragedi jalan raya serius malah mendedahkan kelemahan ketara dalam sistem keselamatan pengangkutan pelancongan negara.

Sementara itu, Loke berkata persatuan pengusaha bas perlu memaklumkan kepada kementerian dan penguat kuasa sekiranya mereka mempunyai bukti serta maklumat berhubung kegiatan pajakan permit bas yang didakwa telah lama berlaku.

Beliau berkata sekiranya pihak persatuan bekerjasama memberikan maklumat atau bukti lebih awal, sudah pasti pihak kerajaan dapat mengambil langkah tertentu dalam usaha menangani insiden kemalangan yang mengorbankan nyawa.

"Memang orang bercakap dan tahu mengenai isu memajak permit tetapi buktinya macam mana. Persatuan sepatutnya bantu MOT…sepatutnya persatuan perlu menyenarai hitam atau mendedahkan perbuatan syarikat berkenaan secara terbuka untuk membersihkan industri,” katanya.  

Dalam kejadian awal pagi Isnin, 15 penuntut UPSI maut apabila bas yang dinaiki mereka terbalik dalam kemalangan di KM53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), berhampiran Tasik Banding, Gerik.

Bas membawa 42 pelajar universiti itu dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu dikatakan hilang kawalan dan melanggar Perodua Alza sebelum terbalik.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan