KUALA LUMPUR, 5 Jun (Bernama) -- Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut selepas dipercayai terjatuh dari balkoni rumahnya di tingkat 30 sebuah pangsapuri di Bukit Jalil, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Aidil Bolhassan berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 11.17 pagi daripada seorang lelaki yang memaklumkan insiden berkenaan.
Beliau berkata sepasukan anggota polis segera dihantar ke lokasi sebaik menerima maklumat.
“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) dan proses bedah siasat dijadualkan dijalankan esok,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Terdahulu, satu rakaman video berdurasi 37 saat yang memaparkan seorang lelaki dipercayai ahli keluarga mangsa menangis di sisi mayat kanak-kanak itu turut tular di media sosial.
-- BERNAMA
© 2025 BERNAMA • Penafian • Dasar Privasi • Dasar Keselamatan