PUTRAJAYA, 4 Jun (Bernama) -- Penyertaan Malaysia dalam Persidangan Buruh Antarabangsa (ILC) anjuran Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) mencerminkan komitmen berterusan negara untuk memastikan dasar serta perundangan buruh sentiasa selaras dengan piawaian antarabangsa.
Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan Menteri Sumber Manusia Steven Sim mengetuai delegasi Malaysia ke persidangan tersebut yang diadakan di Geneva, Switzerland.
Menurut kenyataan itu, penyertaan Malaysia dalam ILC adalah penting dalam memperkukuh perlindungan pekerja, meningkatkan kesejahteraan tenaga kerja serta merangsang kerjasama strategik dalam bidang pembangunan modal insan.
KESUMA memaklumkan Sim dijadual menyampaikan pidato umum di ILC, selain mengadakan pertemuan dengan rakan sejawat dari negara-negara ASEAN serta pertemuan dua hala bersama wakil daripada China, India, Nepal dan Qatar untuk memperkukuh kerjasama dalam isu mobiliti pekerja dan pengurusan buruh rentas sempadan.
Sepanjang misi rasmi itu, delegasi Malaysia turut mengadakan libat urus strategik bersama pelbagai pihak antarabangsa.
Antara tumpuan utama ialah penglibatan aktif Malaysia bersama World Economic Forum, termasuk pelancaran strategi nasional TalentCorp dalam menangani isu-isu bakat serta penyertaan dalam inisiatif Gender Parity Accelerator yang bertujuan meningkatkan penglibatan wanita dalam tenaga kerja negara, menurut kenyataan itu.
“Melalui penyertaan aktif dan hubungan erat dengan pelbagai rakan antarabangsa, KESUMA yakin lawatan rasmi ini akan memberi impak positif dalam usaha mengangkat martabat pekerja, memperkukuh daya saing negara serta mempersiapkan tenaga kerja Malaysia menghadapi cabaran ekonomi masa hadapan,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial