WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Malaysia Perlu Bersedia Dengan Potensi Tarif Baharu AS

04/06/2025 11:30 PM

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid and Nur Atiq Maisarah Suhaimi

KUALA LUMPUR, 4 Jun (Bernama) -- Malaysia perlu bersedia untuk berdepan dengan potensi tarif Amerika Syarikat (AS) seterusnya, yang mungkin mensasarkan sektor serta produk strategik utama seperti semikonduktor, produk teknologi dan farmaseutikal selain tidak tertumpu semata-mata untuk merundingkan pengurangan tarif timbal balik dengan AS seperti sekarang ini.

Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Dasar Majlis Perniagaan AS-ASEAN (AS-ABC), Marc Mealy memberi amaran bahawa walaupun tarif 50 peratus ke atas aluminium dan keluli mungkin tidak menjejaskan Malaysia dalam jangka masa terdekat, tarif akan datang yang dikenakan di bawah peruntukan keselamatan negara atau ekonomi AS boleh memberi kesan langsung kepada industri Malaysia yang terkait ke dalam rantaian bekalan global.

“Keluli serta aluminium bukan sektor eksport utama Malaysia ke AS, jadi tarif baharu (aluminium dan keluli) yang berkuatkuasa hari ini, mungkin tidak menjejaskan Malaysia berbanding ke atas beberapa negara lain.

“Tetapi kita perlu sedar, akan ada tarif lain yang akan datang dan apabila kita bercakap tentang semikonduktor, produk berteknologi tinggi, farmaseutikal, kesan ke atas Malaysia mungkin agak ketara,” katanya kepada Bernama selepas muncul sebagai tetamu dalam program “The Nation,” Bernama TV yang dihoskan oleh Jessy Chahal.

Malaysia dikenakan tarif timbal balik dan asas sebanyak 24 peratus pada 5 April lepas, bersama-sama dengan 168 rakan dagang AS yang lain, ada yang dikenakan setinggi 54 peratus tetapi yang mengejutkan, adalah tarif sebanyak 145 peratus ke atas China, ia kemudian dikurangkan kepada 30 peratus.

Presiden AS Donald Trump kemudian menangguhkan pelaksanaan tarif berkenaan selama 90 hari, yang sepatutnya berakhir menjelang 8 Julai depan tetapi beliau telah memulakan langkah lain apabila mengenakan tarif sektoral ke atas aluminium dan keluli yang diimport ke AS. 

Dalam perkembangan seterusnya, Mahkamah Persekutuan AS mengeluarkan keputusan bahawa tarif yang dikenakan oleh Trump sebenarnya telah menyalahi undang-undang tetapi keputusan tersebut ditangguhkan selepas rayuan oleh pentadbiran Trump.

Menurut Mealy, di bawah undang-undang AS, tarif tambahan boleh dikenakan secara unilateral dengan alasan keselamatan negara atau ekonomi dengan memetik Seksyen 232 Akta Pengembangan Perdagangan AS, yang membolehkan Washington mensasarkan sektor di luar segmen dalam rundingan tarif timbal balik. 

“Dalam ruang semikonduktor, Malaysia di peringkat global dilihat amat kompetitif dan ini akan meletakkannya secara langsung dalam horizon bagi pengenaan tarif AS yang akan datang.

“Oleh itu, apabila wakil Malaysia seperti Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, pergi ke AS, saya berharap perkembangan akan ditimbulkan dan memulakan rundingan bagi pengecualian dalam isu tersebut,” katanya.

Kebimbangan yang sama turut melanda eksport peranti perubatan dan farmaseutikal Malaysia memandangkan sektor-sektor ini boleh terjejas di bawah tindakan AS.

“Sudah sampai masa untuk Malaysia menilai semula dasar-dasar domestiknya, khususnya dalam industri utama termasuk mempertimbangkan pembaharuan untuk mengukuhkan lagi tarikan pelaburan dan mengurangkan potensi kesan. Terus berhubung rapat dengan kerajaan AS tetapi perlu melihat ke dalam negara,” kata Mealy.

“Apakah perubahan yang boleh dibuat Malaysia untuk meningkatkan daya saing? Dan sebagai pengerusi ASEAN, Malaysia boleh memimpin rantau ini bagi mendorong kemajuan inisiatif seperti Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN, yang akan membuktikan kepada pelabur global bahawa rantau ini adalah serius mengenai langkah memantapkan ekonominya sejajar dengan masa hadapan,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa sektor swasta AS tetap komited kepada ASEAN, dengan banyak syarikat AS terus berkembang di Malaysia, terutamanya dalam sektor teknologi dan perubatan.

“Sektor swasta AS melihat nilai di Malaysia dan ASEAN tetapi ini disulitkan oleh perubahan dasar perdagangan Washington melainkan ia dapat dipermudahkan melalui kepintaran diplomasi, pembaharuan dan kerjasama serantau,” katanya.

Walaupun Malaysia mungkin tidak terjejas teruk oleh pusingan awal tarif timbal balik melalui pengenaan duti import sehingga 24 peratus ke atas produk tertentu, kebimbangan sebenar terletak pada tarif sektoral yang akan datang, yang mampu mengurangkan permintaan AS ke atas eksport Malaysia.

“Malahan, cukai import 15 hingga 19 peratus boleh memalingkan pembeli AS ke arah sumber dari negara lain,” katanya.

Mealy juga menegaskan bahawa walaupun sesetengah negara ASEAN tidak dapat menyelesaikan rundingan dalam tempoh masa 90 hari, beliau tidak menolak kemungkinan AS akan melanjutkan penangguhan atau memberi tumpuan kepada negara terpilih bagi perbincangan yang lebih mendalam.

“Untuk Malaysia, yang telah memulakan langkah strategik dan dijangka dalam pendekatannya, ini mungkin akan memberikannya satu kelebihan tetapi sebarang usaha bagi berdepan dengan pusingan seterusnya, patut dimulakan sekarang,” katanya lagi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan